PKPIM-SISMA Sabah Perkukuh Tautan Di Bumi Pandiwan

pkpim-admin July 24, 2012 0

KEM IQRA SIRI KE-4 KG PANDIWAN , NABAWAN

~ Sedamai Bumi Pandiwan, Secekal Penghuninya Mencari Ilmu Tuhan~

Alhamdulillah , setinggi kesyukuran pada pemilik sekalian langit dan bumi, selesai sudah kembara Program Iqra’ di kampung Pandiwan, Nabawan untuk siri ke-4  pada 13- 15 Julai 2012 yang lepas. Program yang dilahirkan atas usaha gigih salah seorang anak muda ,anak jati bumi Pandiwan yang mahukan pencerahan , mencari erti  sebenar saya sebagai Islam.Subhanallah, hebatnya jiwa muda itu.

‘Kecil tapak tangan ,nyiru kami tadahkan’, menyahut keinginan dari saudara-saudara Islam di bumi yang dahagakan ilmu, Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) mengambil inisiatif untuk berkolaborasi bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk turun kelapangan , demi  berkongsi keindahan penghayatan sebenar sebagai seorang muslim.

Kolaborasi pasukan fasilitator dari semenanjung dan Sabah, telah berjaya melaksanakan  program Iqra’ ini sebanyak empat  siri  yang bermula dari hujung tahun 2011 dan berakhir  Julai 2012. Antara intipati utama yang dibawa dalam program Iqra’ adalah penekanan pada amali solat,  bacaan iqra dan konsep toharah  (penekanan pada wudhuk dan tayamum) yang melibatkan semua golongan penduduk Kampung Pandiwan.

Program Iqra siri ke-4 yang merupakan siri terakhir di bumi Nabawan, menekanan kepada pengulangan ilmu-ilmu yang sudah dipelajari dari siri sebelumnya dan  kesedaran untuk terus istiqamah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Bersempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak , penduduk kampung didedahkan dengan   ilmu asas berkaitan puasa. Besar harapan untuk kami melihat , segala ilmu yang dikongsi melalui siri-siri sebelum ini, menjadi asas kekuatan untuk warga penduduk  Kampung Pandiwan berjuang di medan peperangan nafsu dalam gelanggang Ramadhan yang akan tiba beberapa hari sahaja selepas program ini.

Pengakhiran Program Iqra’ siri 4 di bumi Nabawan, bukanlah bermakna terputus terus usaha-usaha untuk terus menyuburkan bumi Nabawan dengan keindahan ilmu-ilmu Allah. Atas keperluan ini, fasilitator telah berjaya mengenal pasti beberapa orang pejuang muda yang berpotensi  yang akan  dilatih dan digilap dalam program khas bersama SISMA ABIM Sabah untuk menjadikan mereka sebagai perantaraan untuk program-program seterusnya yang dikendalikan sendiri oleh anak jati bumi Nabawan demi memastikan usaha-usaha pencerahan  Islam  terus segar dan bepanjangan.

Akhir kalam, moga usaha yang sedikit kolaborasi antara SISMA ABIM Sabah dan PKPIM mampu membawa sinar baru Islam di bumi Nabawan. Setinggi penghargaan kepada ABIM Sabah dan  beberapa sahabat dari  Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai pendokong yang sangat kuat di sebalik kejayaan siri-siri program Iqra’ di Kampung Pandiwan , Nabawan, tidak dilupakan juga barisan fasilitator dari SISMA ABIM Sabah dan PKPIM  yang sanggup berjuang demi mencari redha sang Pemilik Alam. Moga usaha kita yang sedikit ini mendapat tempat disisi Allah s.w.t.

“ Tidak sempurna iman seseorang muslim itu jika tidak mengasihi saudara muslimnya yang lain sebagaimana menyayangi diri sendiri”

Siti Sabariah Ahmad
Exco GEMPA PKPIM
Sesi 2012/2013

Leave A Response »