PKPIM Kecam Serangan Ke Atas Gaza

pkpim-admin November 15, 2012 0

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
15 November 2012 / 1 Muharam 1433 H
PKPIM Kecam Serangan Ke Atas Gaza

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan melalui udara dan air ke atas penduduk di bumi Gaza.

PKPIM menganggap perkembangan terbaru ini sebagai serangan kejam yang melibatkan kematian dan kecederaan kepada penduduk awam termasuk wanita dan kanak-kanak. Serangan ini juga dilihat sebagai satu agenda penerusan Zionis melaksana pembersihan etnik secara besar-besaran terhadap penduduk Islam Palestin.

Dalam pada itu, PKPIM mengutuk alasan rejim Zionis untuk menghapuskan aktivis Hamas dan pengganas untuk menghalalakan tindakan mereka sebagai tidak masuk akal. Ini berikutan serangan tersebut dilakukan secara tebuka ke atas kawasan penduduk awam. Tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan ke atas umat Islam Palestin ini bukan kali pertama dilakukan oleh rejim Zionis, tetapi sudah berpanjangan sejak berpuluh tahun lamanya. Sementara itu, PKPIM menggesa seluruh pihak khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dan Kesatuan Eropah (EU) bersuara lantang dan mengenakan sekatan politik dan ekonomi terhadap Israel atas dasar kemanusiaan. PKPIM juga mendesak agar negara-negara yang bersimpati untuk mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM memuji tindakan tegas Mesir di bawah pimpinan Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk memanggil pulang dutanya ke Israel sebagai tindakan membantah kematian lima anggota polisnya yang terbunuh di sempadan ketika serangan balas tentera Zionis ke atas pejuang Palestin. PKPIM juga menyeru agar seluruh dunia mengecam kezaliman ini dengan apa cara sekalipun bukan sekadar piket atau bantahan dan membuat sesuatu sebagai suatu bentuk tekanan terhadap Israel. PKPIM juga menyeru usaha kesedaran pendidikan kemanusiaan yang berterusan daripada semua pihak agar isu umat di gaza ini tidakmenjadi perhatian pada masa-masa tertentu sahaja.

Muhammad Mu’izzuddin Bin Mustaffar
Naib Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Leave A Response »