EKSPLORASI DA’IE NUSANTARA KE REPUBLIK INDONESIA

pkpim-admin September 26, 2013 1

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM) telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM) untuk mewakili Malaysia dalam Program Muhibbah Da’ie MABIMS III 2013 di Indonesia. Saudara Muhammad Khair Sujud yang merupakan Naib Presiden PKPIM adalah antara enam orang perwakilan Malaysia.

MABIMS adalah singkatan kepada Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang merupakan sebuah bentuk kesepakatan di peringkat serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi memelihara dan menjaga kebajikan masyarakat Islam tanpa mencampuri hal ehwal politik negara masing-masing. Matlamat MABIMS ditubuhkan adalah untuk  mewujudkan dan mengukuhkan semangat persaudaraan yang sedia ada dalam  kalangan umat Islam di Asia Tenggara dan menjadi wadah untuk bermuzakarah, bertukar maklumat, pengetahuan, bahan kajian dan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam kalangan umat Islam serantau dalam menangani perkara-perkara yang menyangkut kepentingan bersama dalam mempertingkat dan memantapkan aqidah dan syariah.

Program Muhibbah Daie MABIMS III 2013 telah berlangsung dengan diadakan lawatan ke tempat-tempat penting dan bersejarah sekitar Jakarta, Jawa Barat, Semarang dan Yogyakarta. Tempat tersebut seperti Masjid Istiqlal, Muzium Bait al-Quran, Maahad Zaitun, Muzium Batik, Masjid Agung Demak, Masjid Menara Kudus dan Percetakan al-Quran Menara Kudus. Lawatan ini yang berlangsung selama enam hari, para peserta turut dibawa ke Pesantren Yanbu’ul Quran, Pesantren Raudhatul Ulum dan Candi Borobodur.

Program seumpama ini dilihat mampu meningkatkan persefahaman dan silaturahim di antara saudara serumpun berkongsi aqidah yang sama. Para peserta juga dapat berkongsi dan bertukar tukar cerita, pandangan dan idea berkenaan masa depan umat Islam selain daripada dapat menambah pengetahuan sejarah nusantara yang cukup unik.

MUHAMMAD KHAIR SUJUD
Naib Presiden
PKPIM Sesi 2013/2014

One Comment »

  1. allan October 7, 2013 at 6:43 pm - Reply

    good luck

Leave A Response »