WAKIL PKPIM BENTANG KERTAS DI IYG KE-10

pkpim-admin October 4, 2013 0

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia telah menghantar seramai 4 orang perwakilan ke International Youth Gathering (IYG) di Albania yang bermula 20 September sehingga 26 September. Delegasi PKPIM telah diketuai oleh Saudara Khairul Anuar bin Abdul Manap, Setiausaha Agung PKPIM bersama-sama Saudara Mohd Arif Taqiyuddin bin Khairuddin, Saudari Norakmahanim binti Ismail dan Saudari Siti Nur Sakinah binti Ahmad Budiman. Persidangan pada kali yang ke-10 ini bertemakan “Common Past, Common Future: Balkans”. Seramai 125 orang peserta dari pelbagai negara telah menyertai program pada kali ini, antaranya Turki, Albania, Kazakstan, Nertheland, Jerman, Palestin, Mecedonia, Bosnia-Herzegovina, Serbia, Bulgaria, Romania, Montenegro, Kosovo, dan Greece. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Mr. Ali Kurt, Setiausaha Agung The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW). Objektif penganjuran pada kali ini adalah untuk mengetahui status terkini negara Balkan, masalah yang dihadapi dan cara penyelesaian untuk Balkan dari kaca mata belia Islam.

Pada hari pertama persidangan iaitu, 22 September 2013, setiap wakil dari negara Balkan membentangkan masalah sosial dan pendidikan dalam kalangan belia Muslim di Balkan. Selain itu, Prof. Dr. Kani Nesimi, dari Macedonia Tetova State University turut membentangkan Macedonia Civilization Wealth of the Balkans, the Center of Islam between the East and the West dan Mr. Abdi Baleta, Politician and the Former Ambassador of the United Nations from Albania membentangkan isu Islamophobia in the Balkans. Secara keseluruhan, setiap peserta dapat mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh belia Muslim di negara Balkan seperti diskriminasi dalam sektor pekerjaan, kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran Islam, masalah politik dan penindasan terhadap belia Muslim.

Pada 23 September 2013, hari kedua persidangan, wakil delegasi Malaysia, Saudara Khairul Anuar bin Abdul Manap membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Malaysia’s Relations with the Balkan Countries”. Fokus pembentangan beliau adalah menyingkap sejarah bantuan Malaysia dalam membantu masyarakat Bosnia-Herzegovina ketika peperangan pada tahun 1992-1994, dengan mengetengahkan peranan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang dipimpin oleh Presiden, Dr. Muhammad Nur Manuty yang mendesak kerajaan Malaysia campur tangan. Tambahan, beliau juga turut mencadangkan agar tiga solusi yang perlu diberi perhatian oleh semua delegasi dalam membina belia Muslim yang terbaik untuk memimpin negara Islam iaitu latihan dan kepimpinan Islam, pendidikan yang komprehensif, serta penjanaan kewangan yang baik. Selain itu, terdapat juga wakil-wakil negara lain yang membentangkan berkaitan tema hari kedua iaitu ‘Relations of Muslim Countries with the Balkan Countries’.

Pada hari terakhir, 24 September 2013, sesi khusus diberikan dalam membincangkan isu Mesir dan Syria. Abdulkadir Karakelle, the Young UNIW membentangkan kajian mengenai politik Timur Tengah dengan kertas kerja bertajuk “How Should We Read the Middle East?”. Selain itu, Ahmed Yusuf el-Turki, wakil Belia DIVAN Turki membuat penilaian peristiwa-peristiwa yang berlaku khusus di Mesir. Kemudian, Ketua Editor Timeturk, Nevzat Çiçek menyampaikan ucapan beliau bertemakan perubahan politik di Syria.

Sepanjang forum ini, 12 penceramah pakar dan 40 penceramah muda dari 30 negara telah membentangkan kertas kerja mereka. Para delegasi juga bersetuju dengan resolusi yang dibentangkan oleh Cihad Adiguzel, Vice President Young UNIW yang berteraskan matlamat iaitu untuk mewujudkan pakatan keharmonian dalam kalangan generasi muda dari pelbagai negara yang berlainan di dunia, dan memupuk semangat kesedaran dan cakna isu umat Islam serta membina persepsi yang baik antara negara-negara di dunia.

Selain sesi persidangan, para peserta turur dibawa melawat sekitar Bandar Tirana, Albania seperti National Historical Museum, Albania, Lake Buna, Artificial Lake Albania, dan di Bandar Shkodre seperti Madrasah Haxhi Sheh Shamia, Madrasah Mustafa Veroshi, dan  Rozafa Castle.

Leave A Response »