MALAYSIA PERLU PROAKTIF DALAM ISU SELATAN THAI

pkpim-admin December 24, 2013 0

sel thai

Apabila mendengar sahaja nama Selatan Thai, tentulah orang di Malaysia ini akan teringat tentang ketidakstabilan dan keganasan. Kawasan Selatan Thai seperti Yala dan Pattani yang dahulunya menjadi tumpuan pelancong Malaysia kini tidak lagi diletakkan di dalam kalendar tempat yang perlu dilawat. Hanya tempat seperti Hatyai dan Phuket yang masih lagi menjadi tumpuan. Persepsi ini menyebabkan peluang perniagaan semakin sukar menyebabkan banyak rakyat Muslim di Selatan Thai bekerja di negara jiran seperti Malaysia. Malah letupan bom yang berlaku baru-baru ini berdekatan sebuah hotel hanya menyebabkan pelancong menjauhkan diri.

Adalah tidak adil untuk melihat Selatan Thai sebuah tempat konflik yang kronik seperti Syria. Hakikatnya kehidupan sehari-hari penduduk adalah sangat aman. Walaupun berlaku sekatan tentera di setiap jalan namun jarang sekali mereka berfungsi kerana tujuannya hanya sebagai kawalan. Jarang mereka memeriksa lalu lintas. Mereka seperti rakyat Thailand yang lain juga menuntut untuk diberi layanan yang adil oleh kerajaan. Mereka juga mahukan kekayaan Thailand itu sampai ke Selatan supaya boleh dinikmati bersama. Peluang ekonomi dan pendidikan juga perlu diratakan tanpa mengira kaum dan agama.

Inilah penyelesaian yang terbaik kepada konflik di selatan Thai. Bukan menambah lebih banyak tentera atau melakukan penahanan tanpa bicara dan prejudis terhadap mana-mana orang Islam yang berkelulusan agama. Kehadiran tentera hanya menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap layanan ‘double standard’ kerajaan. Tentera hadir kerana perintah darurat, oleh itu perlulah perintah darurat itu ditarik balik supaya pemerintahan awam dapat dikembalikan di Selatan Thai.

Namun begitu, sering kali hasrat rakyat dikhianati kerana keadaan politik di Bangkok kurang stabil. Akhirnya Selatan dilupakan dan dibiarkan kerana konflik politik Thailand yang tidak sudah-sudah. Sepatutnya negara Islam seperti Malaysia perlu lebih proaktif dalam membantu saudara seislam. Gagasan Kesederhanaan Global anjuran Perdana Menteri Najib Razak perlu dirasakan dahulu di negara jiran sebelum disebarkan sekuruh dunia. Malaysia perlu keluar dari polisi berdiam diri apabila melibatkan negara-negara ASEAN kerana kita dilihat sebagai masyarakat contoh oleh rakyat negara lain. Kejayaan kita dalam melahirkan masyarakat majmuk perlu menjadi model kepada negara seperti Thailand yang mempunyai masalah apabila melibatkan keharmonian antara kaum dan agaman.

Kita sebagai umat Islam di Malaysia juga perlu berusaha dengan lebih keras lagi dalam memastikan keamanan di Selatan Thai tercapai. Berdosalah kita sekiranya sibuk membantu rakan di Timur Tengah namun terlupa memastikan jiran tetangga juga mendapat hak kehidupan yang lebih baik. Berdoalah semoga umat Islam di Selatan Thai juga berjaya mencapai keharmonian. Mungkin suatu hari nanti kita pula yang akan mencari rezeki di sana!

MOHAMMAD SYAZWANNUDDIN SHAHARUDDIN
Naib Presiden PKPIM
Sesi 2013/2014

Leave A Response »