PMG PERAK 2015 PLATFORM PENCETUS GENERASI MAHASISWA UNGGUL

pkpim-admin February 2, 2015 0

Alhamdulillah, sekali lagi Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Kolej Universiti Sultan Azlan Shah (KUISAS) telah berjaya menganjurkan Perkampungan Menara Gading (PMG) peringkat negeri Perak pada 22 hingga 25 Januari 2015 yang bertempat di Kolej Universiti Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar, Perak. Dengan tema “Menuju Puncak Keilmuan, Menjana Kegemilangan Peribadi”, barisan urusetia PMG Perak seramai 68 orang yang terdiri dalam kalangan ahli KPIP telah berjaya mengumpulkan seramai 136 orang peserta yang terdiri dari lepasan SPM, STPM dan STAM 2014.

Seiring untuk mencapai matlamat utama PMG, iaitu untuk memberi pendekatan dan pendedahan tentang kehidupan alam kampus kepada para pelajar sebelum mereka melangkah ke menara gading, para peserta telah didedahkan dengan gambaran awal kehidupan di alam kampus yang dikongsikan oleh para fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa UIAM, UiTM, UM, UniSZA, USIM, USM, KUISAS dan Politeknik Ungku Omar. Bagi melahirkan mahasiswa ideal, pihak urusetia KPIP telah menyediakan aktiviti dan modul seperti Forum, Explorace dan Slot ILMUWAN berteraskan konsep Latihan Dinamika Kumpulan. Selain itu, PMG Perak pada tahun ini juga tampil sedikit kelainan dengan adanya karnival universiti yang bertujuan memberi pendedahan dan penerangan ringkas kepada para peserta tentang jurusan dan universiti yang mereka minati. Secara zahirnya program karnival universiti ini dapat memberikan pendedahan yang jelas kepada peserta kerana segala bentuk penerangan adalah daripada kalangan pelajar unversiti tersebut.

Menariknya, pihak urusetia KPIP telah mendapat maklum balas yang positif berkaitan program ini. Menurut adik Nur Fauzah bt. Azlin, peserta PMG Perak 2015 dari SMK Bukit Merchu, Kuala Kangsar, “Alhamdulillah, saya berpeluang menyertai PMG Perak 2015 yang mana perkongsian intipati program ini telah memberikan saya sedikit sebanyak gambaran suasana dan persediaan untuk ke IPT nanti. Selain itu, saya juga dapat berkenalan dengan banyak pelajar dari pelbagai sekolah serta manjalinkan ukhwah sesama mereka. Pengisian kerohanian juga amat menarik seperti solat berjemaah, membaca surah Al – Mulk beramai – ramai serta membaca Al – Mathurat. Saya juga tidak boleh menjadi mahasiswa 3K iaitu mahasiswa yang hanya tahu ke kuliah, kafe, dan katil tetapi tidak cakna tentang isu semasa. InsyaAllah segala pesanan dan ilmu yang saya peroleh dari PMG ini akan saya praktikkan.”

Sementara itu, menurut Adik Nur Fatinah bt. Zulkelnain, juga peserta PMG Perak 2015 dari Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah, Ipoh, “Terima kasih kepada pihak penganjur Program Menara Gading kerana program seperti ini telah memberi pelbagai manfaat kepada lepasan SPM seperti saya. Pelbagai jenis ilmuwan yang telah diselitkan didalam tentatif program. Ia memberi pelbagai input tentang suasana dan dorongan ke universiti. LDK seperti ini dapat memberi sikap bekerjasama antara kumpulan dan juga dapat memberi sikap yang positif kepada peserta. Program ini juga dikendalikan oleh mahasiswa dan mahasiswi yang berpengalaman di universiti dan dapat memberikan pelbagai input kepada peserta program ini. Ia juga dapat menanam sikap yang perlu ada dalam diri bakal mahasiswa seperti saya. Saya juga tidak akan lepaskan peluang untuk menyertai PMG Kebangsaan 2015 yang bakal diadakan pada bulan Mac ini. InsyaAllah segala ilmu yang telah diberikan akan saya praktikkan, insyaAllah”

Majlis Penutup telah dihadiri Ustaz Khairil Amri Bin Abdul Rahman (Yang Dipertua Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak), Saudara Muhammad Khair bin Sujud (Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) serta Dr. Anas bin Tajuddin (Dekan Fakulti Pengurusan KUISAS). Perkampungan Menara Gading ini diakhiri dengan ucapan oleh Yang Dipertua KPIP  yang mengkonotasi nasihat, semangat dan harapan kepada para pelajar yang akan melangkah ke menara gading dan bidang bakal diceburi sekaligus  melabuhkan tirai PMG PERAK 15 diikuti dengan nyanyian lagu keramat PMG yang bertajuk “Suara Hati” oleh peserta, para fasilitator dan barisan komiti.

Pendaftaran Peserta PMG Perak 2015

 

Sebahagian peserta Perempuan PMG Perak 2015 ketika sesi Riadah

 

Ketika sesi Forum Kemahasiswaan dan Kepemimpinan dari PKPIM & KPIP

 

sebahagian peserta lelaki PMG Perak 2015 ketika sesi riadah

 

Ketika Sesi LDK peserta-peserta PMG Perak 2015

Sebahagian daripada Komiti dan fasilitator PMG Perak 2015

 

Leave A Response »