PMGPAHANG2015-MAHASISWA BITARA :KE ARAH MENJIWAI PERANAN SEBENAR MAHASISWA

pkpim-admin February 7, 2015 0

Kuantan, 23 Januari 2015 – Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN) telah berjaya menganjurkan program  Perkampungan Menara Gading Peringkat negeri Pahang (PMG Pahang) yang bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan (UIAM Kuantan). Bertemakan “Mahasiswa Bitara : Menjiwai Peranan Mahasiswa Sebenar”, program ini telah disertai oleh seramai 136 orang peserta yang terdiri daripada lepasan SPM, STPM dan STAM serta 43 orang penggerak dan 12 orang fasilitator.

Seawal jam 4.00 petang 23 Januari , bermulalah pendaftaran para peserta PMG Pahang di Mahallah Talhah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan (UIAM Kuantan). Setelah selesai   pendaftaran, para peserta dikumpulkan untuk diberikan taklimat keselamatan dan disiplin. Pada jam 6.00 petang pula, makan malam dihidangkan. Uniknya dalam program ini, kesemua peserta, urusetia dan fasiltator makan bersama dengan menggunakan talam dan dikehendaki makan bersuap antara satu sama lain. Pada waktu maghrib pula, slot pertama iaitu kuliah maghrib  telah diisi oleh saudara Arif Alwan ,Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM). Beliau telah mengingatkan kepada para peserta mengenai tujuan sebenar kehadiran mereka ke program ini iaitu mengikhlaskan hati kerana Allah, disamping berusaha mendapatkan ilmu-ilmu yang berguna daripada fasilitator dan urusetia mengenai hala tuju hidup mereka selepas ini.

Seusai tazkirah maghrib, para peserta berkumpul dan bergerak bersama-sama ke Kuliyyah Farmasi untuk  menunaikan solat isyak secara berjemaah dan bersiap sedia untuk majlis pembukaan. Majlis pembukaan ini telah disempurnakan oleh saudara Mohammad Fadzril Bin Mohd Salleh , Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM). Program diteruskan lagi dengan memperkenalkan barisan fasilitator dan seterusnya pembahagian kumpulan telah dilakukan oleh saudari Sakinah Binti Yaa’kub, selaku jurulatih PMG Pahang kali ini. Para peserta telah dibahagikan kepada 10 buah kumpulan secara rawak. Setelah itu, bermulalah aktiviti para peserta bersama fasilitator masing-masing iaitu Latihan Dalam Kumpulan 1 (LDK 1). Sesi kali ini merupakan sesi memecahkan bendungan (Ice Breaking) dan sesi taaruf antara para peserta dan fasilitator secara lebih mendalam. Tepat jam 11.30 malam, sesi LDK1 berakhir, dengan bacaan Al-Mulk beramai-ramai di dalam dewan kuliah. Para peserta pulang ke asrama setelah selesai minum malam.

Keesokan harinya 24 Januari, kesemua peserta dikejutkan seawal jam 4.30 pagi untuk qiamulail, solat subuh dan slot tazkirah subuh pada pagi itu telah diisi oleh Encik Hisyamuddin Bin Baharuddin, YDP Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pahang bertajuk “Mulakan harimu dengan Alhamdulillah”. Pada jam 9.30 pagi, bermulalah LDK 2 yang bertujuan untuk menjelaskan matlamat atau hala tuju para peserta di dalam program ini serta hala tuju masa depan mereka. LDK 3 pula diteruskan lagi dengan berkonsepkan mengenal potensi diri dalam kalangan para peserta. Aktiviti LDK 4 diteruskan lagi pada pukul 2.30 petang iaitu Sidang Pleno. Dalam aktiviti ini, para peserta dikehendaki berdebat antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Pada sebelah petang pula, aktiviti Explorace telah dijalankan di sekitar mahallah dan Kulliyah  Farmasi dengan bertemakan 7 budaya PKPIM.

Setelah selesai akiviti Explorace, para peserta diberikan masa untuk kendiri dan bersiap sedia untuk menunaikan solat magrib dan seterusnya bergerak ke Kuliyyah Farmasi untuk program seterusnya iaitu forum belia yang bertajuk “Mahasiswa Bitara”. Forum ini dikendalikan oleh saudara Nur Arif Bin Md Radzuan selaku moderator, saudara Mohammad Hafizullah Bin Yatim selaku panel pertama yang juga merupakan YDP Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN), saudari Hawa Mas Azmar selaku panel kedua, yang juga merupakan Exco ABIM Pahang dan saudara Mohd Zikri Bin Jinal, Naib Presiden PKPIM selaku panel ketiga. Forum yang berlangsung selama 2 jam ini terbahagi kepada 3 pusingan. Pada pusingan pertama dan kedua, ahli panel berpeluang menjelaskan mengenai gagasan mahasiswa bitara yang dibawa oleh Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN) dan Persatuan Kebangsaan Peajar Islam Malaysia(PKPIM) dan pada pusingan yang terakhir, para peserta diberikan ruang untuk mengajukan soalan kepada ahli panel. Setelah forum pada malam itu berakhir, kesemua peserta dihidangkan dengan minum malam.

Pada pagi terakhir, 25 Januari, setelah solat subuh, para peserta bersama urusetia melakukan riadah ringan bersama saudara Iman yang merupakan Exco Dakwah dan Tarbiyah PKPIM. Setelah selesai, para peserta bersarapan dan bersiap sedia untuk LDK yang terakhir iaitu LDK 5 yang berkonsepkan Mantap JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek). Pada jam 12.00 tengahari pula, berlangsung Plan of Action (POA) bersama para peserta dan urusetia. Peserta telah dibahagikan kepada tiga buah zon, mengikut lokasi yang telah ditetapkan.

Pada pukul 1.00 tengahari, majlis penutupan bermula. Dalam majlis penutupan itu juga, saudara Mohd Hafizullah Bin Yatim merasionalkan kembali tujuan program PMG Pahang ini dilaksanakan dan membuka ruang dan peluang untuk para peserta berpartisipasi dalam apa jua bentuk program yang dianjurkan oleh Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN). Majlis penutupan PMG Pahang 2015 ini telah disempurnakan oleh saudara Muhammad Hisyamuddin Bin Baharuddin, YDP ABIM Pahang. Dalam ucapan beliau, sempat juga beliau menyelitkan nasihat-nasihat serta realiti sebenar kehidupan alam kampus beserta cabaran-cabaran yang berbentuk 5K. Majlis berakhir pada pukul 2.30 petang dengan sesi bergambar dan jamuan ringan.

Leave A Response »