BERHENTI JADI MAHASISWA LAPAR

pkpim-admin January 10, 2016 0

mahasiswa lapar

Ogos lalu, saya menulis sebuah artikel solidariti mahasiswa yang digantung kerana menganjurkan forum penerangan GST, rejim cukai yang menindas dan menzalimi rakyat.

Sungguh, saya masih percaya dan yakin, hidup dan ekonomi mahasiswa memang masih membimbangkan. Masih meresahkan. Masih perlu dibantu dan diambil berat.

Ya, tanpa menafikan kesempitan hidup akibat keadaan ekonomi negara yang terus-menerus menghimpit dan menyempitkan hidup rakyat, saya masih beranggapan sikap meminta dan menagih simpati bukanlah budaya mulia untuk kita heboh-hebohkan jika berlaku dalam masyarakat.

Berusaha dengan segala upaya untuk mengeluarkan diri daripada kemiskinan dan kesempitan hidup adalah kewajipan setiap individu, tanggungjawab setiap anggota masyarakat.

Masih, ia tidak menafikan peranan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang terbaik untuk rakyat berusaha hidup memajukan diri.

Berdepan dengan anggota masyarakat yang kehilangan upaya untuk berdikari menanggung diri sendiri bagi saya adalah satu penyakit yang perlu dicari penawarnya dengan segera.

Walaupun masa yang tidak singkat diperlukan untuk pulih sepenuhnya, masih kita tidak boleh putus asa.

Barangkali kita perlu menyelidik lebih dalam, sejauh mana simbiosis hidup antara kaya dan miskin yang ditunjangi dengan konsep infaq dan zakat berlangsung.

Memahami hidup ini adalah perkongsian yang bukan berlaku dalam sebuah hubungan kekeluargaan semata-mata, malah antara seluruh anggota masyarakat.

Tanpa menafikan yang menerima tidak harus terus menjadi penerima. Membangun potensi, membentuk sikap untuk berdikari perlu diselarikan dalam usaha membasmi kemiskinan melalui infaq dan zakat ini.

Saya percaya menjadi kewajipan setiap mahasiswa menerima wang zakat apabila kita sedia maklum penuntut ilmu itu jelas merupakan sebahagian daripada asnaf zakat. Maka, isu kelaparan ini tidak akan timbul.

Malah, saya lebih setuju jika setiap institusi pendidikan di negara ini punya kafeteria yang menyediakan makanan secara percuma setiap kali waktu makan.

Makanan yang berkhasiat, seimbang dan mengikut waktu yang betul memang hak asasi setiap individu, apatah lagi mahasiswa yang sedang menuntut ilmu.

Membaca kisah mahasiswa yang kebuluran bagi saya sangat megaibkan. Kita sedar, untuk mereka makan dengan lengkap 3 kali sehari itu barangkali adalah agak sukar, namun, mengikat perut hingga membahayakan kesihatan dan nyawa semata-mata tidak punya wang bukanlah satu tindakan yang wajar dilakukan mahasiswa yang punya akal yang waras.

Tanpa menafikan kelemahan mahasiswa sendiri yang tidak mampu berdikari dan menjaga diri sendiri, kita merasakan institusi pendidikan yang gah dan ternama yang mahu kita angkat ke persada dunia keunggulannya seakan hilang kredibiliti membiarkan warganya tidak cukup makan, seumpama mereka tinggal di padang tandus gersang di daerah yang terperosok tidak punya sumber penghidupan.

Kita boleh melihat fenomena ini dari banyak perspektif; sama ada mahasiswa memang benar-benar kehilangan sumber untuk hidup dalam keadaan sempurna, atau mahasiswa kehilangan akal untuk berusaha hidup dalam keadaan sempurna, atau institusi pendidikan melemahkan akal mereka untuk berusaha membangun hidup yang sempurna, atau memang kita sudah kehilangan daya untuk membangun mahasiswa mahupun institusi pendidikan untuk melahirkan mahasiswa yang mampu untuk hidup dengan sempurna.

Mungkin sungguh, pendidikan kita sudah hilang jiwa nuraninya.

Tidak peduli soal pembangunan insani yang menyeluruh sifatnya, bukan sekadar menghadap buku teks dan nota kuliah.

Tidak hairan jika forum bersifat semasa dan tidak akademik jadi haram dan mengundang akibat buruk kepada penganjurnya, bila soal mahasiswa kelaparan seakan isu pinggiran yang tidak mahu di pandang berat pihak universiti hingga menjadi bahan cerita sensasi seluruh negara.

Ini kerana universiti tidak begitu peduli dengan harga makanan yang mahal di kafeteria juga barang-barang keperluan pelajaran yang turut meningkat harganya.

Universiti tidak punya mekanisme membendung masalah kesempitan ekonomi mahasiswa yang makin memburuk, tetapi sebaliknya semakin keras menindas mahasiswa dengan harga yuran saban tahun yang terus meningkat.

Memang kita sedar isu mahasiswa bercatu makanan bukan perkara baru, semua yang melalui zaman mahasiswa pasti pernah merasa. Memang, ada salahnya di pihak lain; universiti, kerajaan, masyarakat dan lain-lain.

Namun, membiarkan diri kebuluran tetap bukan satu tindakan munasabah dan dapat diterima akal yang sihat.

Masih banyak saluran dan laluan untuk mahasiswa hidup dengan lebih sempurna dari terus mendera diri dengan meratap kehidupan dan takdir yang tidak menyebelahi anda.

Tahun lalu, melalui HELWA, sayap wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama HEWI, sayap mahasiswi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kami mula menggerakkan program Dapur HELWA yang dilaksanakan di beberapa buah institusi pengajian tinggi bagi menyediakan makanan percuma untuk mahasiswa.

Program yang ternyata mendapat sambutan yang memberangsangkan bukan saja daripada mahasiswa yang menerima manfaatnya, malah daripada para dermawan budiman yang berebut-rebut memberikan infaq mereka.

Keluar dari zon tidak selesa anda, hiduplah dengan bermaruah dan berjuanglah untuk berada dalam zon selesa.

Peranan teman sebaya dan masyarakat kampus yang mengambil tahu dan menjaga tepi kain adalah perlu. Hidup bermasyarakat dan bersosial juga adalah penting. Ubah sikap untuk ubah kehidupan.

Anda, mahasiswa universiti yang diberi peluang untuk menuntut ilmu dan meningkatkan keupayaan akal yang dianugerahkan Tuhan melalu sistem pembelajaran di universiti.

Jika anda, sebagai mahasiswa sendiri tidak mampu menggunakan akal yang bijak bestari untuk hidup lebih baik demi masa depan anda, apa yang kita mahu harapkan untuk anda keluar dari universiti dan berbakti kepada masyarakat di luar sana?

Kita tidak akan berhenti untuk berjuang memastikan keadaan ekonomi yang menjerut leher rakyat ini berakhir dan diganti dengan ekonomi yang mesra dan menjaga kebajikan rakyat.

Tetapi itu tidak bermakna anda hanya menunggu dan menanti perjuangan ini berhasil dan anda menerima habuannya.

Mahasiswa mesti turut serta untuk berjuang bersama. Mulakanlah perjuangan ini dengan menjadi manusia yang boleh menjaga diri sendiri dan seterusnya mampu memberi dan berbakti kepada masyarakat lainnya.

Tahun 2016 ini dimulakan dengan pelbagai gerakan pemberian makanan percuma kepada mahasiswa. Mahasiswa perlu menyambut usaha ini dan jangan biarkan diri anda kelaparan.

Lebih cemerlang bila mahasiswa sendiri turut serta menggerakkan program-program sebegini.

Perlu sentiasa ingat yang memberi adalah lebih baik daripada menerima. Berikanlah tenaga masa muda anda untuk usaha-usaha yang baik ini ketika anda tidak punya wang ringgit untuk memberi lagi.

Dan sematkanlah keazaman untuk dapat memberi dengan lebih banyak lagi pada masa akan datang.

Warga kampus baik pihak pentadbiran, pensyarah dan lainnya perlu turut sama memainkan peranan dalam memastikan nasib setiap masyarakat kampus terbela.

Kita mengharapkan institusi pendidikan tinggi dan universiti ini menjadi komuniti contoh untuk masyarakat di luar sana.

Jika universiti kita gagal untuk membentuk komuniti yang baik yang boleh menjadi teladan, kita akan mengalami permasalahan yang lebih besar membentuk masyarakat di luar univeersiti nanti.

Jika masih buntu, dan jika masih tidak tahu bagaimana untuk keluar dari zon tidak selesa anda, jika masih terus diburu kelaparan dan kebuluran.

Mohon hubungi kami di ABIM. Kami akan kenalkan anda negara ini sangat makmur untuk anda kehilangan punca dan terus berada dalam kelaparan. – 10 Januari, 2016.

Amalina Ismail
PKPIM & ABIM Activist

*This article has been published in The Malaysian Insider,
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/berhenti-jadi-mahasiswa-lapar-amalina-ismail

Leave A Response »