KENYATAAN MEDIA PKPIM: PKPIM HAIRAN KPM TERUSKAN DLP, BAIK HENTIKAN DARIPADA RUGI

pkpim-admin February 15, 2016 0

AoLTSdhTPIdjlvZgNuZaS19eiQGMlht-NeVxxOs--ks9

Kenyataan Media PKPIM
15 Februari 2016

PKPIM HAIRAN KPM TERUSKAN DLP, BAIK HENTIKAN DARIPADA RUGI

PKPIM merujuk kepada pelaksanaan program Dwibahasa (Dual Language Program) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula awal tahun ini.

Mewakili suara pertubuhan pelajar dan mahasiswa, PKPIM sekali lagi menyatakan kekesalan kami atas sikap tidak rasional KPM yang berkeras meneruskan projek DLP ini di 300 buah sekolah rintis walaupun dalam keadaan persediaan yang sangat minima dan mengecewakan. Malah program “tergesa-gesa” ini juga telah mendapat tentangan banyak pihak tetapi tidak diendahkan oleh KPM. PKPIM sendiri telah mengeluarkan kenyataan media pada 06 November 2015 berhubung isu DLP ini tetapi tidak dijawab oleh KPM.

Tidak berniat menghalang usaha mengukuhkan bahasa Inggeris, kami berpandangan DLP tidak akan sesekali menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris. DLP adalah program gagal PPSMI yang dihidupkan semula walaupun KPM telah memutuskan untuk memansuhkannya.

Program DLP yang telah dinyatakan peruntukan sebanyak RM 38.5 juta dalam pembentangan pembentangan Bajet 2016 yang lalu ini jelas bercanggah dengan keputusan Jemaah Menteri dan KPM yang telah disepakati pada Julai 2009 untuk memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara “soft-landing” dan pada 2010 menetapkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kerajaan di bawah KPM juga telah berjanji untuk memansuhkan PPSMI secara menyeluruh dan dilakukan berperingkat-peringkat bermula 2011 sehingga tahun 2021.

Malang sekali, atas nama MBMMBI, program mirip PPSMI dilaksanakan semula atas jenama baharu “Dual Language Program” yang memang menumpukan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bahasa Inggeris.

Dalam perkembangan yang sama, kami juga menerima rungutan daripada pihak ibu bapa yang “dipaksa-rela” untuk membenarkan anak-anak mereka mengikuti DLP di sekolah. Malah, mereka juga belum menerima buku teks yang sempurna, hanya menggunakan buku teks lama versi PPSMI buat sementara waktu sebelum menerima buku teks versi DLP. Apakah ini petanda KPM benar-benar bersedia, atau tergesa-gesa? Tindakan ini sangat menghairankan.

Jawapan dan justifikasi pelaksanaan DLP juga seperti “disalin semula” daripada hujah dan justifikasi pelaksanaan PPSMI. Disusun senyap-senyap kemudian diumumkan pada waktu saat-saat akhir pelaksanaan. Banyak persoalan yang masih belum terjawab tentang motif pelaksanaan DLP ini.

Sebagai generasi muda yang peduli dengan masa depan generasi kami, kami mendesak KPM segera menghentikan projek DLP ini daripada menanggung kerugian seperti yang dihadapi sebelum ini dalam pelaksanaan PPSMI.

Oleh yang demikian, dalam mendapatkan penjelasan berhubung isu ini, kami menuntut KPM memberikan penjelasan tentang beberapa perkara berhubung pelaksanaan DLP:

1) Bagaimanakah status pemansuhan PPSMI apabila program DLP mirip PPSMI dilaksanakan? Adakah KPM khianat kepada janji memansuhkan PPSMI?

2) Tiga syarat ditetapkan untuk DLP boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah iaitu sumber yang mencukupi, kesediaan guru dan sokongan daripada ibu bapa. Kami mohon Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dan pasukannya telus dalam mendapatkan maklumbalas pelajar, guru dan ibu bapa dalam rangka lawatan beliau ke sekolah-sekolah. Laporan kajian khas tentang kesediaan guru juga patut dikeluarkan sebelum program ini dilaksanakan tetapi malangnya tiada. Apa penjelasan KPM?

3) Sekarang telahpun masuk pertengahan bulan Februari. Buku-buku teks versi DLP yang baharu masih juga belum diterima oleh sekolah-sekolah. Apakah penjelasan KPM berhubung isu ini?

4) 300 buah sekolah rintis telah dikenalpasti untuk memulakan program ini (termasuk High-Immersive Program – HIP). Menurut KPM, sekolah-sekolah ini dipilih kerana mempunyai pencapaian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada tahap terbaik. Mohon KPM takrifkan “tahap terbaik” itu, dan KPM perlu keluarkan data menunjukkan tahap pencapaian BM dan BI bagi 300 buah sekolah rintis tersebut. Benarkan guru dan pelajar sekolah-sekolah tersebut bersedia?

4) Soalan ini pernah kami ajukan kepada KPM. Kali ini kami mohon jawapan. Sejauh mana campur tangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), PADU dan PEMANDU (Performance Management and Delivery Unit) dalam agenda baharu DLP ini? Di manakah prinsip dan hak membuat keputusan oleh KPM dalam isu berkaitan pendidikan anak bangsa? KPM harus berani dan tahu bidang kuasa sendiri.

5) Soalan ini pernah kami ajukan kepada KPM. Kali ini kami mohon jawapan sekali lagi. Dalam hiruk pikuk skandal nasional politik dan ekonomi di Malaysia, kami ingin bertanya bagaimanakah unjuran perbelanjaan peruntukan RM 38.5 Juta untuk projek ini?

6) Apakah KPM menyedari kegagalan PPSMI adalah kegagalan pelajar menguasai Sains dan Matematik sekaligus kegagalan penguasaan Bahasa Inggeris? Program HIP kami sokong tetapi tidak DLP kerana mengajar subjek STEM dalam bahasa Inggeris tidak membantu penguasaan bahasa Inggeris. Mohon KPM beri penjelasan kaitan antara mempelajari STEM dalam bahasa Inggeris dengan penguasaan bahasa Inggeris berdasarkan data dan kajian.

Harapan kami kepada KPM, bersikap teluslah dalam isu ini. Kegusaran kami adalah berasas demi kepentingan anak bangsa Malaysia yang dicintai. Kami menanti jawapan daripada Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Tuntasnya, kami sekali lagi menyatakan bantahan kami terhadap agenda DLP ini dan mohon kerajaan hentikan tindakan memperjudi nasib anak bangsa Malaysia yang kita cintai ini. PKPIM juga akan bersama dalam pelancaran “Kempen Mansuhkan Program Dwibahasa DLP/ PPSMI 2.0” yang diadakan pada jam 12:00 tengahari hari ini (15 Februari) di depan SOGO, Kuala Lumpur sebagai desakan kami kepada KPM untuk menghentikan program DLP yang merugikan ini.
Mohammad Fazril bin Mohd Saleh
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

15 Februari 2016

Leave A Response »