KENYATAAN MEDIA PKPIM: KEADILAN ARWAH ADIK AMINULRASYID AMZAH DITEGAKKAN

pkpim-admin March 25, 2016 0

1918312_1064473680261799_5844295705279927042_n-2

Kenyataan Media PKPIM
25 Mac 2016

KEADILAN ARWAH ADIK AMINULRASYID AMZAH DITEGAKKAN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia merujuk kepada kes kematian Allahyarham Adik Aminulrasyid Amzah akibat ditembak polis enam tahun lalu.

PKPIM menyatakan rasa bersyukur kami apabila mahkamah memutuskan keluarga mangsa menerima ganti rugi sejumlah RM414,800.00. Ini merupakan suatu pengajaran besar buat anggota keselamatan dan institusi yang diamanahkan menjaga keamanan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.

Menyorot perjuangan menuntut keadilan untuk Allahyarham Adik Aminulrasyid, pada 04 Mei 2010 (enam tahun lalu), PKPIM di bawah teraju Presiden ketika itu, Sdr Faisal Aziz serta rakan-rakan beliau telah berinisiatif menganjurkan suatu forum “Keadilan untuk Adik Amunilrashid”, bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Ini merupakan forum terawal yang dianjurkan bagi mendedahkan kisah sebenar kes Adik Aminulrashid yang ditembak polis sehingga mati. Dalam forum yang menampilkan tiga panelis itu; N. Surendran (peguam keluarga mangsa), Raja Badrol Hisham (pensyarah Undang-undang UIAM) dan Wing Chin Huat (Civil Right Commitee) menggariskan enam resolusi menuntut keadilan untuk mangsa yang bukan semata-mata ditembak polis tetapi juga difitnah sebagai pengganas bagi mengabsahkan tindakan penembakan mati itu.

Alhamdulillah, semalam Hakim Mahkamah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan pihak defendan (ketua Polis Shah Alam, Ketua Polis Selangor waktu itu, Ketua Polis Negara waktu itu dan Kerajaan Malaysia) perlu membayar pampasan sebanyak RM414,800 kepada keluarga mangsa, merangkumi RM150,000 bagi kesakitan dan penderitaan, RM150,000 bagi ganti rugi teruk dan teladan, RM10,000 bagi perkabungan, RM4,800 bagi kos pengebumian, RM100,000 bagi salahlaku kepada masyarakat umum. (rujukan: Sinar Harian 24/03/2016)

Pampasan sebanyak itu sudah pasti tidak mampu menggantikan nyawa dan memadamkan kesedihan, tetapi setidak-tidaknya keadilan untuk arwah ditegakkan dan nama baiknya kembali dibersihkan.

Kes berlaku pada awal pagi 26 April 2010 (enam tahun lalu) apabila polis melepaskan tembakan bertubi-tubi ke atas sebuah kereta yang dipandu oleh remaja berusia 15 tahun sehingga menyebabkan kematian.

Kejadian berlaku di Seksyen 11 Shah Alam. Pemandu kereta terbabit iaitu Arwah Adik Aminulrashid dikejar polis dan rebah setelah terkena tembakan di kepala. Kereta yang dipandunya kemudiannya terbabas. Rakan mangsa yang berada dalam kereta tersebut keluar dan menyerah diri, tetapi kemudiannya dibelasah polis. Polis kemudiannya menuduh mangsa sebagai pengganas kerana mendapati terdapat parang dalam kereta yang dipandu beliau (?). Hakikatnya, tindakan polis tersebut adalah keterlaluan, brutal dan kejam. Keputusan mahkamah mendapati tiada sebarang bukti bahawa parang ditemui dalam kereta tersebut.

Terima kasih kepada para peguam dan aktivis atas usaha semua menegakkan keadilan untuk arwah Adik Aminulrashid. Al-Fatihah buat almarhum.

HIDUP BIAR BERJASA

Mohammad Fazril bin Mohd Saleh
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

25 Mac 2016

Leave A Response »