PERUTUSAN PRESIDEN: “TEKAD MAHASISWA BITARA, MENJADI TERAMPIL DAN BERKEMAJUAN

pkpim-admin April 9, 2016 0

pmg 2016

PERUTUSAN PRESIDEN
Sempena Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2016

“TEKAD MAHASISWA BITARA: MENJADI TERAMPIL DAN BERKEMAJUAN”

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, wabihi nasta’in, ‘ala umurid dunya wa ‘d-din.

Marilah kita bersama-sama merafa’kan syukur ke hadrat Allah kerana diberikan kesempatan menjayakan Perkampungan Menara Gading peringkat kebangsaan bagi tahun ini (PMGK ’16). Mudah-mudahan segala usaha kita ini menjadi amal ibadah dan tanda ketaqwaan kita di sisi Tuhan.

Dalam kesempatan ini saya mengucapkan tahniah atas penganjuran acara penuh signifikan ini. Penghargaan khusus dirakamkan buat para penggerak dan panitia program.

PMG adalah acara tahunan yang mensasarkan pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM. Bagi tahun 2016, PMG berjaya dijalankan di kesemua 14 negeri seluruh Malaysia:

Apa sebenarnya niat kita dalam penganjuran PMG? Suka baginsaya nyatakan tiga maksud utama penganjuran program ini:

i) Pendedahan kepada pelajar lepasan sekolah tentang alam kampus termasuk memperkenalkan universiti dan

ii) Membangun potensi peserta dan menyuntik semangat ummatik dengan penerapan lingkung kebitaraan (Idealisme, intelektualisme, aktivisme, spiritualisme), dan Budaya 7 PKPIM.

iii) Membina jaringan baharu dengan perkenalan dan persahabatan

PKPIM berasa terpanggil untuk membantu para lepasan SPM mengenalpasti dan membangun potensi mereka seawal mungkin sebelum masuk ke alam kampus.

Ternyata, di universiti, alumni PMG menjadi pemimpin mahasiswa di universiti, jadi orang hebat. Mereka lebih awal memahami makna kehidupan di universiti berbanding siswa-siswi yang lain. Kami harap para peserta PMG kali ini juga akan “menjadi”. Hasrat kita, semua peserta akan melangkah menjadi mahasiswa Bitara, dengan ciri terampil dan berkemajuan. InshaAllah.

PKPIM, sebagai penganjur PMG, merupakan sebuah persatuan induk pelajar Islam peringkat kebangsaan. Ia ditubuhkan pada tahun 1961 dengan gabungan persatuan-persatuan pelajar Islam negeri seluruh Malaysia.

Sehingga hari ini, terdapat 14 buah persatuan pelajar Islam negeri (Badan gabungan negeri – BGN) yang bergabung membentuk PKPIM dan 30 buah kampus IPT mempunyai usrah PKPIM. Oleh itu, nanti apabila masuk universiti, tak kira di mana pun anda bakal tercampak, sertai PKPIM atau BGN di tempat anda.

Kebitaraan utama PKPIM adalah melahirkan pemimpin. Terbukti dalam sejarah PKPIM yang panjang (55 tahun), telah melahirkan ramai pemimpin di pelbagai peringkat (pemimpin negara, pemimpin peringkat antarabangsa, pemimpin masyarakat, pemimpin politik, pemimpin korporat, profesor, pendidik, etc).

PKPIM adalah platform latihan yang ideal. Oleh yang demikian, saya ucapkan tahniah kepada seluruh peserta PMG kerana menyertai salah satu acara anjuran bersama PKPIM.

Di sini, saya coretkan beberapa peristiwa bersejarah yang telah dicapai oleh PKPIM dalam sejarah dan kepimpinan semasa. Antaranya, PKPIM merupakan organisasi yang mencetuskan idea penubuhan universiti Islam (Kongres Penubuhan Universiti Islam dlm muktamar PKPIM ke-10 1971, menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 1971, menggagaskan idea Bank Islam, menuntut pemansuhan PPSMI, menjadi panel dan rujukan tetap Kementerian Pendidikan Malaysia untuk reformasi sistem pendidikan dan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, wakil tetap Malaysia ke Program anjuran MABIMS (Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura), menjadi tuan rumah untuk International Youth Gathering ke-12 (2015), menjadi badan gabungan persatuan peringkat nasional, regional dan antarabangsa: Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara, World Assembly of Muslim Youth (WAMY), International Islamic Federation of Student Societies (IIFSO), Union of NGOs of Islamic World (UNIW) dan sebagainya.

Kepemimpinan PKPIM kali ini telah mengkonsepsikan suatu gagasan dikenali sebagai “Generasi Bitara: Terampil dan Berkemajuan”. Gagasan ini adalah sasaran kita semua.

Setiap individu yang menyertai PKPIM, baik di peringkat BGN mahupun Kampus perlu memahami dan menghadam gagasan ini. Kalian boleh merujuk dua makalah khusus untuk memahami gagasan ini: i) “Mahasiswa Bitara: Persiapan Menciptakan Peribadi Unggul”, ii) Pengorbanan dan Kesungguhan: Bagaimana Menjadi yang Terbaik”, iii) Warkah Presiden “Membangun Mahasiswa Bitara: Bagaimana Harus Kita Menjadi?” dan iv) Ucapan Dasar Presiden Muktamar PKPIM ke-54 “Membangun Generasi Bitara: Terampil dan Berkemajuan, Menuntaskan Misi Pencerahan”.

Dalam usaha membina peribadi unggul seperti yang dicita-citakan dalam gagasan Mahasiswa Bitara, beberapa aspek diambilkira dan dititikberatkan. Dan perkara-perkara itu sudahpun diperkenalkan dalam modul dan kegiatan yang peserta lalui sepanjang program PMG ini. Ini adalah agenda besar, pembinaan pemimpin umat masa depan.

Melangkah ke alam kampus bukan sekadar untuk mendapat semata-mata ijazah tetapi untuk mencipta kecemerlangan: bina budaya, pengurusan diri, pengurusan akademik, pembangunan skil, pembangunan potensi dan syaksiah, belajar untuk berkhidmat dan berjasa, peduli kepada masyarakat dan umat serta membina jaringan. Ini adalah perkara yang perlu adik-adik terokai selepas ini.

Saya mengharapkan kalian sentiasa “keep in touch” antara sama lain. Kemaskini keadaan semasa dan juga rezeki sambung belajar anda nanti. Program susulan wajar dilaksanakan di daerah masing-masing selepas ini.

Sertai PKPIM atau BGN di IPT anda bila mendaftar ke sana kelak. Jika tiada PKPIM, tiada BGN di situ, andalah yang akan membangunkan PKPIM di kampus tersebut.

Tiada protokol khas dalam budaya kita. Kita adalah organisasi bersifat kekeluargaan, bukan kompeni. Dalam keluarga kita ada abang, kakak, adik, ibu, ayah, datuk, nenek. Presiden PKPIM adalah abang kita, YDP BGN adalah abang kita, mereka bukan bos. Jadi tak perlu takut-takut atau berasa segan. Buat macam biasa dengan abang-kakak, kerana itulah lumrahnya seorang adik. Dalam organisasi kita, ukhuwah dan persaudaraan serta budaya saling menghormati adalah yang paling utama dalam perhubungan.

Kenangi saat-saat manis bersama dalam program ini. Ingat dan fahami bait-bait lagu tema PMG. Adik-adik bukan hanya bersama-sama dengan kawan-kawan peserta PMG di sini, tetapi bersama ribuan lagi rakan-rakan yang mengikuti PMG di negeri-negeri lain seluruh Malaysia. InshaAllah, bagi peserta terpilih, tahniah kerana kalian berpeluang mengikuti Perkampungan Menara Gading peringkat kebangsaan ini.

Jangan lupa untuk saling berhubung dan manfaatkan apa-apa yang baik daripada program ini. Juga, “like” dan ikuti perkembangan terkini PKPIM di FB Page www.facebook.com/pkpimalaysia.

Kesempatan ini juga saya sampaikan salam seluruh kepemimpinan keluarga besar PKPIM-ABIM-WADAH. Kami mendoakan kejayaan program ini dan semoga beroleh manfaat yang besar daripadanya.

Sekali lagi tahniah diucapkan. Selamat maju jaya.

“Sahabat, kita bersama membawa
Harapan dan cita-cita, menjadi insan yang bertaqwa.”

“Menara, menjadi titik bermula, ukhuwah sesama kita, agar berbakti pada semua.”

“Kerana cinta pada Yang Esa, kerna ukhuwah kita bersama.”

Hidup Biar Berjasa

MOHAMMAD FAZRIL BIN MOHD SALEH
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

013-2775313 | fazrilsaleh@gmail.com | FB: Fazril Saleh

Leave A Response »