PERUTUSAN PRESIDEN SEMPENA MEMPERINGATI PERISTIWA ISRAK WA MIKRAJ: MENEKUNI IBRAH ISRAK-MIKRAJ: IDEALISME & PERJUANGAN, MENDOBRAK TRADISI MUNDUR & DOGMATIK

pkpim-admin May 5, 2016 0

13124546_1095030530539447_6120880565956991134_nPERUTUSAN PRESIDEN
Sempena Memperingati Peristiwa Israk wa Mikraj

27 Rejab 1437H / 05 April 2016

1- Assalamualaikum wbt. Alhamdulillahi wa bihi nasta’in, ‘ala umuri ‘d-dunya wa ‘d-din.

2- Segala puja puji bagi Allah Tuhan sarwa alam, Yang Maha Berkuasa memperjalankan hamba-Nya yang mulia, Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa israk dari bumi Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin, dan mengangkat baginda Mikraj ke langit.

3- Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, pesuruh Allah yang mulia, yang menyedari hakikat betapa besarnya dan beratnya perjuangan menegakkan kebenaran, akan tetapi insaf bahawa itu adalah misi baginda sebagai utusan-Nya.

4- Pada kesempatan yang mengujakan ini, saya mewakili seluruh saf qiyadah PKPIM, kami merakamkan ucapan selamat memperingati peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.

5- Sesungguhnya, peristiwa ini adalah suatu babak sejarah agung yang berlaku dalam sejarah kehidupan Nabi kita yang sangat kita cintai, seorang inspirator yang sentiasa menghembuskan nafas perjuangan yang abadi.

6- Israk dan Mikraj adalah peristiwa yang mengingatkan kita dengan idealisme dan perjuangan Ar-Rasul s.a.w yang wajar kita tekuni ibrahnya. Ia bukan sekadar kisah ulangan saban tahun tentang perjalanan ke situ dan ke sini, tetapi ia kisah agung yang mencetuskan revolusi dalam pemikiran dan budaya masyarakat di zaman baginda.

Saudaraku,

TIDAK MENINGGALKAN IDEALISME DAN PERJUANGAN: PERISTIWA PALING LUAR BIASA

6- Sedarkah kita bahawa peristiwa Israk dan Mikraj Nabi s.a.w sebenarnya adalah suatu peristiwa luar biasa? Ya, mungkin ramai yang menyedari keluar-biasaan itu pada peristiwa berjalan malam (israk) dari Mekah ke BaitulMaqdis yang jauhnya berbatu-batu, dan naik ke langit (Mikraj) melihat perkara ghaib dan menghadap ke Hadrat Zat Yang Maha Mulia Tuhan Semesta Alam, iaitu Allah subhanahu wa ta’ala.

7- Peristiwa ini memang aneh dan luar biasa. Inilah keistimewaan yang dikhususkan kepada insan mulia ini. Tetapi pada tanggapan saya, bukan ini yang paling luar biasa.

8- Yang paling luar biasa adalah “kesedaran penuh” (full-consciousness) Rasulullah s.a.w tentang idealisme dan misi perjuangan Baginda. Idealisme dan perjuangan tetap tidak Baginda tinggalkan. Apakah yang saya maksudkan dengan Baginda tidak meninggalkan idealisme dan perjuangan? Bagaimana itu boleh dikatakan paling luar biasa?

9- Baginda diisrakkan dari Baitullah di Mekah ke Baitul Maqdis di Jerusalem. Kemudian diberi pengiktirafan oleh arwah para Nabi dan Rasul Allah lainnya untuk mengimami solat. Kemudian dimikraj ke langit. Dipertontonkan kepada Baginda bagaimana keadaan di neraka. Ditayangkan kepada Baginda bagaimana kenikmatan syurga dan segala isinya. Kemudiannya berlakulah peristiwa agung menghadap Sang Kekasih Rabbul Jalil.

10- Tahukah kita bahawa menghadap Allah Rabbul Jalali wa ‘l-Ikram adalah kebahagiaan sebenar yang hakiki? Ia adalah puncak kepada segala kegembiraan bagi manusia.

11- Dapatkah kita bayangkan, “sekiranya” kita di tempat Nabi s.a.w. – diisrakkan, dimikrajkan, dipertontonkan kenikmatan syurga, kemudian bertemu Allah Yang Maha Agung, punca segala kebahagiaan. Apakah kita masih lagi mahu turun kembali ke dunia yang penuh kekacauan, bermasalah, harus pula bersusah payah menerima penentangan? Sedangkan peluang untuk lari daripada segala macam permalahan tersaji di depan mata.

12- Ternyata, itu kalau kita. Tetapi tidak Baginda. Baginda adalah insan yang “fully-conscious” akan idealisme dan misi perjuangannya. Boleh saja Baginda s.a.w. memohon kepada Allah untuk tidak kembali ke dunia, dan kekal dalam syurga dan merasai kenikmatannya. Tetapi Baginda tidak buat begitu. Inilah yang paling luar biasa, menurut tanggapan saya.

13- Justeru, inilah sunnah Nabi s.a.w. yang besar, jangan sesekali menggugurkan idealisme dan meninggalkan perjuangan pada saat terhidangnya kesenangan di depan mata.

Saudara-saudaraku yang menekuni,

EMOSI ITU BERSIFAT MOMENTARI, TETAPI FITRAH MANUSIA BEREMOSI

Sahabat-sahabatku,

14- Apakah kalian menyedari bahawa dalam perjuangan hidup yang sedang kalian geluti ini, kalian berdepan pelbagai macam masalah, krisis dan konflik? Sehingga membuatkan kalian terasa hati, atau mungkin terguris, atau bersedih, jadi muram atau marah, sehingga rasa seperti mahu menangis?

15- Sedarilah bahawa itu semua adalah emosi, yakni perasaan yang Allah kurniakan kepada kita. Bukan hanya perasaan-perasaan seperti itu saja, tapi juga perasaan gembira, teruja, bangga, dan lain-lain. Semua itu adalah emosi, dan emosi sifatnya momentari, iaitu sementara.

16- Betapa sekejap cuma emosi ini dapat kita rasakan, sebagai contoh berikut: saatnya kita kehilangan teman yang mendahului kita, meninggal dunia. Kita rasa sedih. Kita menangisi pemergiannya. Hati kita jadi hiba dan sayu mengenangkan saat-saat bersama. Kita berikan arwah penghormatan terakhir selepas dikafankan, dengan menyembahyangkannya dan berdoa. Kemudian kita hantarkan beliau ke tanah perkuburan. Saat melihat beliau itu dimasukkan dalam liang lahad dan dikambus dengan tanah, kemudian dibacakan talkin membuatkan hati kita jadi bertambah sayu. Kita menangis lagi. Kita berdoa lagi. Habis pengebumian, berapa lamakah kesedihan itu masih bertahan? Ternyata sedih itu emosi dan emosi itu momentari (sementara).

Saudaraku yang rasional,

17- Kita semua manusia, maka layaklah kita beremosi. Jika sedih mahu menangis, maka menangislah. Jika gembira mahu ketawa, maka ketawalah. Mengapa perlu dihalang fitrah insani itu.

18- Namun ingatlah kalian, jadi pemimpin itu harus melebihkan rasionaliti kita berbanding emosi. Saatnya masalah muncul, buat kita jadi marah, kawallah akan emosi itu, kerana emosi marah yang sementar itu bakal memunculkan natijah yang bukan mudah untuk dibereskan kemudian di hari.

19- Jika terima suatu berita, maka selidikilah dulu, jangan sampai berita yang tidak benar atau kabur itu menunggangi emosi kita. Nanti buruk padahnya.

20- Inilah inti ajaran Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w., insan yang kita kenangi dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Baginda itu sangat mengerti betapa sementaranya dunia ini, betapa emosi itu momentari. Baginda juga manusia, baginda ketawa kerana gembira, menangis kerana bersedih, marah dan bermuram dan lain-lain.

21- Tetapi Baginda sangat bijaksana, mengawal emosi, pemikiran dan tingkahlaku sendiri. Itulah sifir untuk jadi pemimpin berkesan. Kawal diri untuk kawal orang lain.

22- Peristiwa Israk Mikraj mempamerkan sisi kehebatan Baginda dalam pemahaman tentang perkara ini. Baginda sanggup turun semula ke Bumi yang sukar, susah, menghadapi tentangan, buat hatinya jadi gundah dan sedih, sedang saja sudah tersaji kebahagiaan yang kekal bukab momentari di Langit yang beliau kunjungi. Kerana apa? Kerana segala gundah dan kesedihan itu hanya sementara, sedangkan perjuangannya adalah kekal dan bertahan, dan akan membawa baginda kembali mendapatkan kebahagiaan hakiki itu.

Saudaraku yang terampil,

KASIH SAYANG YANG AGUNG & KETEGASAN BERTEMPAT

23- Betapa kasihnya Nabi Muhammad kepada kita semua, iaitu umat akhir zaman membuatkan Baginda menyanggupi untuk turun semula ke muka Bumi selepas mikraj ke langit.

24- Baginda mengetahui akan hakikat kewujudan, maka perjuangannya untuk menyelamatkan umat daripada kesesatan dan memimpin mereka kepada kebenaran adalah tanda kasih Baginda yang tidak berbelah bahagi.

25- Begitulah yang harus kita contohi. Mengasihi sesama kita, malah mad’u kita yang jahil pun dilihat dengan pandangan rahmah.

26- Walau bagaimanapun, berhati-hatilah dengan golongan yang tahu dan sedar akan dosa dan kesalahan tetapi menggunakan agama untuk menutupi kesalahan dan dosa mereka. Malah kesalahan dan dosa mereka bukan hanya memberikan kesan kepada diri mereka sendiri malah menjahanamkan umat bersama.

27- Golongan seperti pemimpin korup yang rasuah dan salahguna kuasa, disokong pula para menteri dan agamawan dengan “fatwa” dan “ijtihad” songsang mereka walaupun mereka tahu pemimpin ini akan merosakkan umat.

28- Kita harus dan wajar bersikap keras dan tegas dengan kelompok seperti ini. Jangan mudah termakan dengan “ayat-ayat dakwah” mereka yang hipokrit itu, bagai menutup tahi di bawah tikar, pasti berbau juga.

Saudaraku yang berkemajuan,

PERCAYA DHAMIR, TINGGALKAN DOGMA

29- Kalian harus percaya diri, yakin dengan kebolehan sendiri, kembangkan potensi dan jangan mudah mengalah.

30- Saya sendiri amat faham akan keadaan teman-teman sekalian. Kita semua baharu belajar untuk mengenal erti perjuangan. Kita semua masih lagi “hijau” dalam arena ini. Kita masih lagi sungguh-sungguh belajar.

31- Memang ada kelemahan, kerana kalian masih lagi belajar. Tetapi secara peribadi saya tak akan pernah melekehkan kalian, walaupun kalian buat kesalahan kerana cukuplah bekal fikrah yang kalian “subscribe” ini untuk penambahbaikan untuk masa depan. Kalian akan terus belajar.

32- Yang buat saya jadi hairan, dengan sikap sesetengah “senior” yang mungkin “perasan hebat”, yang tidak bijak langsung menyantuni kalian. Ada satu dua kesalahan remeh, pastinya mereka melenting itu dan ini. Semacam kesalahan atau kesilapan itu bakal memusnahkan gerakan atau memberi malu besar kepada jamaah.

33- Paling tak dapat saya terima adalah ungkapan-ungkapan yang saya anggap bongkak seperti “masa zaman saya dulu”, “waktu saya jadi pimpinan dulu” dan yang sepertinya. Usah berbangga sangat dengan “zaman senior” itu kerana ada orang yang tahu zaman mereka tiadalah apa-apa pun. Malah zaman kalian kini mungkin jauh lebih baik berbanding zaman mereka. Banyak perkara yang kalian capai mereka tak dapat lakukan pun. Justru, pesan saya, jangan rasa diri hebat jika kalian jadi senior nanti.

34- Kita harus sedari bahawa setiap zaman ada cabaran sendiri, dan juga ada habuan sendiri. Hormatilah “adik-adik” kita. Hormatilah “waktu” kerana “adik-adik” itu perlu waktu. Senior tidak semestinya lebih bagus, lebih baik dan lebih mulia. Tanggapilah “adik-adik” dengan rasa hormat dan iktiraflah kesungguhan mereka belajar. Mungkin saja banyak yang akan senior pelajari daripada “adik-adik” ini kerana zaman senior dulu juga tak dapat mencapai prestasi tertentu sebagaimana dicapai oleh “adik-adik”.

35- Saya juga berpandangan, bahwa fikrah reformis dan islah yang kita “subscribe” dalam gerakan menuntut kebangkitan dhamir, mengajak kepada berfikir dan berijtihad, bebas untuk berkehendak dan membangkit rasa yakin diri. Fikrah kita juga menganjurkan pembebasan diri dari taqlid buta, tradisi yang dogmatik malah amalan kebiasaan yang bercanggah dengan prinsip islahi.

36- Jadi, mana mungkin dalam gerakan ini ada orang yang rasa lebih mulia dan hebat, rasa lebih senior dan bagus berbanding yang lain. Semua orang wajar dilayani dan disantuni sama rata dengan diikat oleh jalinan ukhuwah Islamiyah dan kasih sayang.

37- Oleh yang demikian, saya sangat tidak bersetuju dengan suatu budaya yang tergambar dalam slogan seperti “budaya merujuk”. Ia adalah suatu dogma yang meletakkan superioriti kepada golongan tertentu yang berasa lebih mulia berbanding yang lain. Ini harus diubah kepada “budaya dialog”, lebih telus, murni sifatnya, lebih menyantuni dan terbuka.

38- Malah, amatlah menyayangkan jika berkembangnya “culture of fear” dalam pertubuhan kita yang pastinya merencatkan pertumbuhan dan kapasiti berkarya kita.

39- Semua ini harus segera disedari, dan dibetulkan. Pertubuhan yang mengaku islah juga wajar mengislah diri sendiri. Jangan sampai kita menyesal kerana keboborokan seperti ini membarah dalam wadah perjuangan.

Saudaraku sekalian,

KESEDIAAN DAN KESEPAKATAN

40- Secara peribadi saya berterima kasih kepada kalian semua, kerana kalian menyanggupkan diri untuk menyertai perjuangan.

41- Ramai dalam kalangan kita bukan anak siapa-siapa. Rata-rata ibu ayah kita bukan anggota gerakan. Kita tidak mewarisi fikrah dan idealisme di rumah.

42- Justru, terima kasih teman-teman kerana sudi berkorban tenaga, masa dan wang ringgit untuk gerakan. Mungkin tiada sesiapa memberikan pengiktirafan atas kerja-buat kalian, tetapi sentiasa ingat bahwa saya sebagai presiden mewakili seluruh qiyadah sentiasa menghargai kalian.

43- Kalian telah jadi orang berjuang. Bukan kerja kita menangih pengiktirafan. Jangan tagih pujian, usah mengemis penghormatan. Tugas kita adalah mengIslah diri, dan mengIslah umat. Bekal kita adalah fikrah dan idealisme. Pergantungan kita adalah Allah dan rahmat-Nya. Kebanggaan kita adalah diri sendiri dan teman-teman kita.

44- Kita masing-masing punya “dhamir” petanda kemuliaan kita semua. Dengan dhamir, kita berfikir. Dengan dhamir, kita merasa. Dengan dhamir, kita beraksi. Dengan dhamir, kita merobah.

45- Kenangi semula gagasan-gagasan yang saya lontarkan lewat Ucapan Dasar Presiden PKPIM tahun lalu. Cubalah hadami mesejnya. Cubalah rasakan apa semangatnya. Cubalah bahaskan isi kandungannya. Cubalah wacanakan apa pemikirannya. Mudah-mudahan ada kebaikan.

Sahabat-sahabat sekalian,

KHATIMAH

46- Mudah-mudahan coretan ini bakal menjadi suatu bahan untuk difikir-fikirkan. Mudah-mudahan ia nanti tidak disalahfahami. Cita-cita kita untuk terus membangun generasi Bitara yang terampil dan berkemajuan jangan sampai terhambat oleh sikap anti-Islahi atau anti-reform.

47- Teruskan membangun potensi diri kerana kalianlah generasi Bitara itu. Tahniah juga kepada kalian semua yang telah menjayakan beberapa acara besar, suatu prestasi yang membanggakan.

48- Perkampungan Menara Gading (PMG) terlaksana di semua 14 buah negeri dengan jayanya. PMGK pada awal April lalu melabuhkan tirai dengan gilang-gemilang sekali. Kegiatan usrah di kampus-kampus berjalan setiap minggu secara konsisten. Kegiatan ilmiah seperti bibliophilia dan Wacana Pendidikan disuburkan. Pelatihan fasilitator di negeri-negeri dijalankan secara giat. Acara Legasi Hamka suatu catatan sejarah besar kalian dalam meluaskan pemikiran tokoh ilmuwan besar di Tanah Air kita. Kalianlah juga yang bertanggungjawab mewujudkan kesedaran Sambutan Hari Buku Sedunia di Malaysia pada 23 April yang lalu. Ternyata kalian sangat berprestasi dan orang yang celik akan mengapresiasi.

49- Sekianlah coretan ini. Mengenang peristiwa agung Israk Mikraj ini adalah suatu kemestian, kerana di situ ada pengajaran. Sisi pandang saya ini sekadar lontaran untuk sama-sama kita fikirkan.

50- Wallahu ta’ala a’lam. Salam perjuangan! Teruskan berjasa! Sollu ‘ala Nabiy!

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

HIDUP BIAR BERJASA

MOHAMMAD FAZRIL BIN MOHD SALEH
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

05 Mei 2016/ 27 Rejab 1437H

#HidupBiarBerjasa
#TerampilBerkemajuan
#GenerasiBitara

Leave A Response »