Perutusan Khas Presiden Sempena 56 Tahun PKPIM Di Persada Dakwah

pkpim-admin May 16, 2017 0

31 Mac 2017

” Menyorot pengalaman lalu, Memperteguh khittah perjuangan”

Hari ini, 31 Mac 2017 genap 56 tahun usia Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Penubuhan awal gerakan menepati resolusi Seminar Pelajar Islam Se Malaysia di Asrama Kedua Universiti Malaya yang diadakan pada 04 September 1960.

Di awal penubuhannya, PKPIM tampil membangun idealisme Islami dalam warga kampus dengan memulakan idea islamisasi dengan menumbuhkan benih-benih kesedaran Islam dalam kalangan warga kampus seterusnya menyumbang kepada kebangkitan baharu Islam di Malaysia.

PKPIM juga tampil sebagai antara kumpulan pendesak dalam usaha awal penubuhan UKM & UIAM. Keupayaan menbangun potensi dan kader baru bernuansa Islam oleh PKPIM telah menyumbang kepada penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971. Keberadaan 56 tahun PKPIM telah melahirkan ramai aktivis dan pimpinan besar yang terus konsisten mendokong idealisme perjuangan di pelbagai lapangan yang mereka ceburi. Siddiq Fadzil, Anwar Ibrahim, Redzuan Othman, Muhammad Nur Manuty, Kamaruddin Mohd Noor, Asyraf Wajdi Dusuki, Ibrahim Ali, Shabery Cheek dan Nur Izura Udzir antara sebahagian kecil daripada tokoh yang pernah berkongsi suka duka perjuangan dalam bahtera perjuangan PKPIM.

Kini, PKPIM telah mencecah usia 56 tahun di persada umat dan terus optimis melahirkan lebih ramai mahasiswa dan penerus kepimpinan negara yang mempunyai keunggulan sahsiah dan berkemajuan akal pemikiran. Dengan penuh iltizam, PKPIM harus bersiap membangun kekuatan untuk kekal relevan di samping sentiasa bijak memposisikan diri dalam menangani era perubahan yang kian mencabar ini.

Buat teman yang budiman,
Sesungguhnya kami menghargai setiap penat lelah dan komitmen kalian demi meneruskan perjuangan. Kita menginsafi pesanan Dato Dr Siddiq Fadzil “Kerja Keras Dengan Ikhlas, akan mengundang barakah”. Kami yakin keberkatan gerakan dititipkan dengan wujudnya jiwa-jiwa ikhlas sepanjang keberadaan dalam gerakan ini.

Sematkan dalam dhamir, kita adalah kebanggaan umat dan merupakan jentera penting dalam keluarga besar kita (Jemaah WADAH-ABIM-PKPIM). Kita sedang dipersiap untuk memimpin umat.

Terus Berjuang, Terus Bitara, Terus Berjasa
Moga Keberkatan Allah mengiringi Gerakan ini.

HIDUP BIAR BERJASA

Muhammad Khair Bin Sujud,
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

31 Mac 2017

Leave A Response »