PERUTUSAN PRESIDEN PKPIM SEMPENAN ISRAK MIKRAJ 1438H

pkpim-admin May 16, 2017 0

PERUTUSAN PRESIDEN PKPIM SEMPENAN ISRAK MIKRAJ 1438H
24 April 2017

“Penghayatan Israk Mikraj, Manifestari Kebitaraan Mukmin”
Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya(Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al haram ke Masjid al Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perhatikan kepadanya sebahagian daripada tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
(Surah Al Isra’ ayat 1)

1. Alhamdulillahi Rabbil ‘ Alamin Wal ‘Aqibatu LilMuttaqin Wala ‘Udwana illa ‘ alaz zholimin.

2. Setinggi kesyukuran infiniti dirafakkan ke hadrat Allah SWT, pentadbir alam semesta yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

3. Selawat dan salam buat kekasih Agung Al Rasul SAW, penyebar rahmat dan berkat. Berkat kegigihan dan kesabaran Baginda kita dapat menikmati cahaya Iman dan Islam yang sangat berharga.

Teman-teman yang berjuang dan berjasa,

4. Mewakili Saf Qiyadah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), saya dengan rasa terharu dan insaf mengucapkan “Selamat Menyambut Israk Mikraj “.

Ini adalah suatu peristiwa agung, bukan sekadar disambut dan diraikan, tetapi lebih daripada itu adalah mengambil ibrah dan teladan sebagai inspirasi perjuangan dalam melaksanakan amanah di muka bumi ini.

5. Israk ialah : Perjalanan Nabi Muhammad SAW daripada Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin.

Manakala Mikraj pula : Perjalanan Nabi Muhammad SAW naik ke langit ketujuh dan dilanjutkan hingga Sidratul Muntaha untuk berjumpa dan menerima perintah dari Allah S.W.T. Perjalanan yang sangat singkat, menguji iman dan keyakinan serta dipertontonkan pelbagai peristiwa yang memberikan motivasi dan keinsafan.

Teman-teman yang menginspirasi dan mengujakan

6. Perintah solat antara amanah besar ditaklifkan dalam peristiwa agung ini. Rasulullah SAW seorang pemimpin agung yang mengerti keadaan Umatnya, mengusahakan dengan penuh kesungguhan sehinggalah 50 rakaat menjadi kepada 5 rakaat.

Apakah kita masih tidak sedar atau masih lalai melaksanakan ibadah solat ini? Kesibukan urusan dunia menyebabkan pertalian dengan Allah terabai?Tanyalah iman masing-masing dan lakukan Islah dalam diri.

Ayuh perbaiki kualiti solat kita.

Tunaikan secara berjemaah dengan penuh penghayatan dan di awal waktu. Berazamlah supaya kita dapat memahami bacaan solat dengan baik, menunaikan segala rukun-rukunnya dan terkesan dengan falsafah solat seterusnya Amar Ma’ruf Nahi Munkar
dapat diterapkan dalam setiap aspek kehidupan kita.

7. Melalui Israk Mikraj dapat kita teladani bahawa solat itu adalah jalan untuk kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, selawat itu adalah jalan untuk kita mengekalkan hubungan dengan Nabi Muhammad SAW dan solat jemaah itu adalah jalan untuk mengeratkan silaturahim supaya hubungan dengan manusia itu terjamin.

Benar seperti yang diungkap oleh Prof Dr Hamka :

Pada waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang”

Teman-teman yang berbudi dan bijaksana,

8. Israk Mikraj jugak membuktikan bahawa hati adalah perkara penting yang dinilai Allah dengan simbolik pembelahan dada Nabi Muhammad untuk diisi dengan iman, ilmu dan hikmah serta penyucian melalui wudhu untuk mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah.

Melihat ragam dunia hari ini, segala dosa dan salah laku banyak berpunca dari hati. Ramai yg berilmu, tinggi kedudukan dan pangkat termasuk kelompok agamawan tidak terlepas dari penyakit hati.

Lebih parah dan menyedihkan, lidah pantas menghamburkan kata-kata nista, fitnah, perli memerli , tulisan yang menghina dan pelbagai lagi.

Oleh yang demikian, jagalah lidah agar diberi kemantapan akidah, jagalah mata agar diberi kemantapan jiwa dan jagalah hati agar diberi nur yang menyinari.

9. Perjalanan Al Rasul SAW dalam peristiwa agung ini mengajar kita erti perjuangan, pengorbanan dan kecekalan dalam dakwah.

Sesiapapun sukar untuk mengakui kebenaran peristiwa ini, melainkan dengan iman dan pegangan akidah yang utuh.

Saya mengerti tentang kepenatan dan cabaran kalian dalam berdakwah dan berkegiatan. Terus pasakkan niat yang teguh, semarakkan lagi obor perjuangan dan jangan pernah mengalah.

Jadikan Rasulullah SAW sebagai uswah hasanah dan pemangkin semangat.

10. Jalan menuju Allah SWT ertinya jalan menuju syurga. Syurga itu tidak ternilai harganya. Perumpamaannya umpama kaca dan permata. Kaca itu murah dan mudah didapati di mana-mana.Tetapi permata itu mahal, amat sukar untuk mendapatkannnya.

Sudah ditakdirkan jalan menuju Allah SWT penuh dengan ujian, godaan dan kesukaran. Tetapi apakah kita sengaja menempah susah? Tidak! Kita hanya rela dan tega menerima kesusahan sementara demi kesenangan abadi. Inilah tradisi orang bijaksana.

Sedangkan orang ” bijaksini” rela mengorbankan kesenangan abadi di sana (akhirat) hanya kerana inginkan kesenangan di sini (dunia). Berjuang memang pahit kerana syurga itu manis.

Teman-teman yang berkorban dan berbakti,

11. Kesempatan ini, saya dan seluruh saf Qiyadah PKPIM mengucapkan jutaan terima kasih atas segala pengorbanan, susah payah dan kegigihan kalian dalam menjayakan bersama agenda PKPIM .

Semoga segala amal bakti, usahakan dan wang ringgit yang digunakan mendapat keberkatan Allah SWT.

Ayuh teman, berdayakan potensi dan kekuatan masing-masing untuk kita berikan khidmat yang terbaik buat Umat.

Terus berjuang, Terus bitara, Terus berjasa.

HIDUP BIAR BERJASA

MUHAMMAD KHAIR BIN SUJUD

Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
24 April 2017/27 Rejab 1438 H

Leave A Response »