Perutusan Presiden Sempena Hari Guru 2017 : “Perjuangan Pendidikan, Apresiasi Buat Guru Mithali”

pkpim-admin May 16, 2017 0

Perutusan Presiden Sempena Hari Guru 2017
“Perjuangan Pendidikan, Apresiasi Buat Guru Mithali”

1. Alhamdulillah Rabbil ‘Alamin Rabbi Zidni ‘ilma Warzuqni Fahma. Subnaka La ‘ilmalana illa Ma ‘allamtana Innaka antal ‘alimul Hakim.

Setinggi tasyakkur selayaknya buat Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

2. Selawat dan salam buat junjungan Baginda al Rasul SAW, guru teragung pembimbing umat. Penyebar rahmat dan berkat. Qudwah hasanah buat insan sejagat, jasa yang terus mengalir hingga kiamat. Beruntung insan yang mendidik dan terdidik kerana Rasulullah SAW juga diutus sebagai pendidik.

“Sesungguhnya aku diutus sebagai guru”

3. Kesempatan yang penuh kebahagiaan dan kesyukuran, saya mewakili saf qiyadah dan semua aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, pendidik dan pensyarah di seluruh negara.

Setiap hari adalah hari guru, tetapi tarikh 16 Mei setiap tahun sangat signifikan dan bersejarah khusus meraikan golongan pendidik yang sangat berjasa.

4. “Guru Pembina Negara Bangsa”.
Begitulah tema Hari Guru pada tahun ini. Sarat dengan makna yang tersurat dan tersirat melalui tema ini peranan dan tanggungjawab guru diberikan perhatian yang istimewa.

Didikan dan sumbangan guru sangat penting dalam mengimpikan pembinaan generasi bitara yakni generasi yang unggul dan hebat dengan memiliki paduan idealisme, intelektualisme, aktivisme dan spiritualisme yang mantap dan seimbang.

Natijahnya melahirkan kepemimpinan yang berjaya menyumbang kepada pembangunan negara.

Guru-guru yang berjuang,

5. Kami mengerti bahawa tugasan mendidik bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi tekad perjuangan kalian yang teguh dari keikhlasan dhamir memotivasikan kalian berjasa dalam dunia pendidikan ini.

Tugas guru adalah sebagai mudarris yakni mengajar ilmu pengetahuan kepada pelajar. Inilah tugas hakiki yang difahami dan dilakukan oleh kebanyakan guru di sekolah pada masa kini.

Selain itu, gurujuga sebenarnya berperanan sebagai seorang Muallim iaitu seorang yang mengamalkan apa yang diajarkannya seterusnya berusaha menambahkan ilmunya.

6. Guru juga adalah seorang murabbi yakni seseorang yang membimbing dan mendidik para pelajar selain menjadi contoh kepada pelajarnya.

Guru juga adalah seorang muaddib iaitu senantiasa berusaha memperbaiki akhlak pelajarnya.

Peranan yang terakhir adalah sebagai mursyid yakni guru sebagai petunjuk ke arah jalan yang benar dan diredhai Allah SWT serta mempunyai peribadi yang baik dan terpuji.

Guru-guru yang gigih,

7. Berdepan dan mendidik “generasi millennia” pada hari ini sangat mencabar dan memerlukan kesabaran, ketabahan dan kecekalan yang tinggi.

Di mana pun kalian ditempatkan untuk mengajar sama ada di kawasan pedalaman atau bandar sekali pun, keadaan tetap rencam dengan berdepan kerenah dan ujian sebagai seorang pendidik.

Sungguh, martabat kalian diangkat tinggi di sisi Ilahi sebagai penyala obor ilmu dalam meneruskan misi pencerahan dan pencerdasan anak bangsa.

Tokoh pendidik yang berjasa, Almarhum Prof Dr Hamka menitipkan pesan;

“Bebanmu akan berat. Jiwamu harus kuat, Tetapi aku percaya langkahmu akan berjaya.Kuatkan peribadimu”

8. Pendidikan adalah suatu proses jangka masa panjang dan berterusan. Peranan memanusiakan manusia adalah hikmah seorang pendidik dalam menyantuni anak-anak didik.

Budaya sedia belajar, mengajar dan diajar terus diterapkan bagi memastikan kelestarian budaya ilmu dalam kalangan guru dan murid.

9. Sekolah dan universiti adalah syurga. Maka wahai guru mithali sekalian, ayuh kita mendidik dengan jiwa dan kasih sayang.

Senyuman,ketegasan dan sentuhan kasih sayang seorang pendidik memberikan inspirasi dan motivasi bermakna buat anak murid dalam merealisasikan sekolahku syurgaku.

Guru-guru yang bitara,

10. Tidak terkira pengorbanan dan ujian para pendidik.Inilah sunnatullah dalam setiap perjuangan.Bersabarlah dengan ujian harianmu sebagai pendidik.

Hanya mereka yang berusaha melaksanakan “ahsanu ‘amalan” yang akan memperoleh kebaikan dunia dan akhirat.

Tanda penghormatan buat guru, penyair terkenal Mesir Ahmad Syauqi menyebut dalam syairnya;

“Berdirilah untuk menghormati guru”
“Perbanyakkan pengagungannya”
“Apakah engkau mengetahui”
“Seseorang yang lebih mulia dan lebih agung”
“Dari orang yang membangun jiwa dan menumbuhkan akal?”

11. Panggilan keramat ” guru ” akan senantiasa bergema setiap masa walaupun telah tamat perkhidmatan dalam institusi pendidikan.

Inilah keunikan satu profesion yang berjaya melahirkan ramai kepemimpinan negara, ulama’ dan pelbagai lapangan bidang profesional yang bermula dengan kesabaran dan keikhlasan luar biasa seorang guru.

Guru-guru yang mithali,*

12. Bangsa Malaysia adalah bangsa yang hebat. Pembinaan watak dan peribadi yang unggul hadir dengan keyakinan dan kesedaran guru dalam memberdaya potensi dan bakat anak murid masing-masing. Teruskan berjuang dalam membina karakter mereka menjadi generasi yang berwatak bukan sekadar berotak.

Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil, seorang ilmuwan dan tokoh pendidik mengungkap; ” Proses pemerkasaan bangsa harus bermula dengan mengembalikan kemanusiaannya sebagai makhluk mulia dengan menggembeling seluruh potensi kemanusiaannya termasuk daya fikiran, daya rasanya dan daya kreatifnya.

Guru-guru yang berbudi,

13. Berbahagia dan bersyukurlah bergelar seorang guru. Ilmu yang dicurahkan senantiasa bermanfaat buat umat dan menjadi ganjaran berharga sebagai bekalan di sana nanti. Menepati maksud Hadis Al Rasul SAW;

“Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amal perbuatannya, kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan orang tuanya.”

Ini adalah amanah dan penghargaan yang menginspirasikan sebagai seorang pencinta, pengajar dan pengamal ilmu.

Oleh yang demikian, ayuh tanam dan semaikan dalam diri anak murid masing-masing semangat dan visi ummatik yakni senantiasa berfikir tentang kemaslahatan dan untung rugi umat demi agama, bangsa dan negara yang kita cintai ini.

14. Terima Kasih cikgu!
Jasamu terus dikenang. Semoga terus sakti dalam berbakti.

Sasterawan Negara, Dato’ Usman Awang dedikasikan puisi indah buat guru-guru. Ayuh kita hayati bait-bait ini;

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Terus berjuang,
Terus bitara,
Terus berjasa

HIDUP BIAR BERJASA

MUHAMMAD KHAIR BIN SUJUD

Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

16 Mei 2017

Leave A Response »