PKPIM GESA KERAJAAN PERKASA SISTEM PENDIDIKAN

pkpim-admin May 16, 2017 0

PKPIM GESA KERAJAAN PERKASA SISTEM PENDIDIKAN
1. PKPIM merujuk kepada teks ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Syarahan “Budaya Ilmu Teras Kekuatan Negara” di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 14 April yang lalu.

Beliau mengakui kegagalan sistem pendidikan negara cacamarba sambal menyifatkan sistem yang ada kini gagal memperkukuh perpaduan nasional dan mewujudkan masyarakat yang bobrok.

2. PKPIM sebagai sebuah pertubuhan yang komited terhadap perkembangan pendidikan negara mengucapkan terima kasih atas respon TPM berkenaan perkara ini dan menggesa kerajaan kembali mengangkat Falsafah Pendidikan Negara sebagai asas pelaksanaan sebarang dasar berkaitan pendidikan.

3. Pendidikan seharusnya mampu memperkembang potensi individu serta mampu melahirkan insan seimbang bukan sekadar robot yang dilatih memuntahkan nota-nota yang dihafal di dalam dewan peperiksaan.

4. PKPIM menyokong sebarang usaha untuk penambahbaikan sistem Pendidikan negara dan menggesa dasar-dasar berkaitan pendidikan negara dilaksanakan yang konsisten.

Dasar yang sering kali berubah-ubah dan tidak konsisten menyebabkan pelajar sekolah dan guru umpama dijadikan bahan kajian dasar tidak konsisten kerajaan.

5. PKPIM juga mengakui kepelbagaian orientasi sekolah memberikan kesan negatif dalam usaha pembinaan negara bangsa. Faktor ini turut menyumbang kepada kesukaran buat rakyat mencapai perpaduan.

6. Justeru, PKPIM mengesyorkan kerajaan menyemak semula Akta Pendidikan 1996. Penubuhan sekolah satu aliran adalah relevan dan sesuai dilaksanakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bagi menyatu-padukan masyarakat majmuk di negara ini namun seharusnya dilaksanakan dengan menghormati sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

7. PKPIM mengusulkan beberapa langkah berikut dalam memperkasa Sistem Pendidikan Negara

-. Menyemak semula silibus buku teks dengan menambahkan kandungan yang lebih infomatif dan mesra murid

-. Mempertahan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah seluruh negara

-. Meningkatkan kualiti profesion perguruan dengan suntikan perlatihan guru yang bersesuaian dengan zaman

-. Memastikan guru tidak dibebankan dengan perkara-perkara teknikal dan lebihan tugasan sebaliknya memfokuskan kepada tugasan hakiki yakni mengajar dan mendidik agar matlamat pendidikan menjadikan ” insan yang baik” menjadi realiti.

-. Memastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang turut meletakkan perpaduan sebagai agenda utama diangkat dengan serius dan bersungguh-sungguh.

-. Melibatkan (engage) dengan NGO masyarakat sivil dan pelbagai bangsa secara berterusan sebagai rakan peneraju dalam menjayakan agenda perpaduan.

8. PKPIM sebagai organisasi yang prihatin kepada soal pendidikan bersedia untuk berdialog dan membantu pihak kerajaan bagi mencari solusi yang terbaik agar kualiti pendidikan negara terus ditingkatkan setanding negara maju yang lain.

Hidup Biar Berjasa

MUHAMMAD KHAIR BIN SUJUD,

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
17 April 2017

Leave A Response »