PKPIM GESA PIHAK PENTADBIRAN UIAM HENTIKAN ALB.

pkpim-admin May 16, 2017 0

KENYATAAN MEDIA 17 APRIL 2017

PKPIM GESA PIHAK PENTADBIRAN UIAM HENTIKAN ALB.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa pihak pentadbiran UIAM menghentikan penguatkuasaan Automatic Barrier Gate (ALB).

PKPIM selaku jurucakap mahasisawa Malaysia mempersoalkan keberkesanan polisi yang dilihat dilaksanakan secara tergesa-gesa ini.

Sebagai institusi pendidikan yang membawa nama Islam, UIAM harus sedar mereka membawa imej Islam yang seharusnya terpelihara daripada terpalit dengan isu-isu yang hanya akan memburukkan nama baik institusi.

Oleh itu, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi negatif harus dielakkan demi menjaga imej Islam yang dibebankan ke atas UIAM.

PKPIM komited dalam memperjuangkan isu berkaitan UIAM atas dasar ketanggungjawaban sebagai antara pelopor awal gagasan universiti islam di Malaysia sebagaimana dipersetujui dalam Kongres Penubuhan Universiti 1971 anjuran PKPIM.

PKPIM melihat kerugian utama pelaksanaan ALB adalah universiti ini mula dilihat ekslusif sekaligus gagal memainkan peranan sebagai pusat pencerahan umat.

Universiti seharusnya mesra-masyarakat, menyantuni umat dan sentiasa terbuka menerima pelawat dan tetamu luar selaku the garden of knowledge and virtue.

Pembinaan sebuah penghadang memberikan konotasi negatif kepada masyarakat bahawa UIAM kini adalah bersifat eksklusif dan hanya berhak dimasuki oleh pelajar dan para staf.

PKPIM juga khuatir tentang ketidaktelusan pengurusan UIAM dalam menjelaskan kos pelaksanaan projek ALB ini. Setakat ini, kos pelaksanaan ALB masih lagi tidak dijelaskan kepada mahasiswa yang berhak mengetahui sebagai concerned citizen.

Kekhuatiran ini berasas, memandangkan dana yang diberikan kepada UIAM adalah duit rakyat yang seharusnya digunakan dengan cermat.

Tambahan pula, PKPIM juga difahamkan bahawa pihak pengurusan UIAM telah membuat kajian berkenaan keberkesanan pelaksanaan ALB selama 3 tahun.

Namun sehingga kini, hasil kajian tersebut tidak pernah diwar-warkan kepada umum, sekaligus menimbulkan tanda tanya kepada para mahasiswa akan ketelusan pihak pengurusan UIAM dalam menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan demi kebaikan bersama.

Oleh itu, PKPIM sekali lagi menyeru pihak pengurusan UIAM untuk lebih bersikap terbuka dalam melayani persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh mahasiswa UIAM. Sesungguhnya, era the authority knows best sudah berakhir.

Hidup Mahasiswa.
Hidup Biar Berjasa.

Awang Syazuan Shafiq Awang Jaya,
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sesi 2016/2017.

Leave A Response »