PERUTUSAN KHAS – Sempena Pelantikan Barisan Pimpinan Baharu Sesi 2018/2019

pkpim-admin October 15, 2018 0

PERUTUSAN KHAS
Sempena Pelantikan Barisan Pimpinan Baharu Sesi 2018/2019
14 Oktober 2018

KEPIMPINAN KOLEKTIF: QIYADAH SEBAGAI TAKLIF

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para Sahabat Baginda, dan kepada semua generasi penerus perjuangan dakwah.

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan
(Surau At-Taubah:105)

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sudahpun mencecah usia 57 tahun. Agenda membangun generasi mahasiswa Islam yang kompeten dan berkemajuan merupakan antara fokus utama gerakan ini dalam mempersiap kepemimpinan umat masa depan.

Sebagai sebuah pertubuhan berdaftar yang komited menerajui kebangkitan mahasiswa, Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) atau dikenali juga sebagai Muktamar Sanawi bagi pertubuhan ini telahpun direalisasikan dengan jayanya pada 12 hingga 14 Oktober 2018, bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor Darul Ehsan.

Lebih 200 para perwakilan, pemerhati dan peserta yang hadir daripada delegasi mahasiswa Universiti Awam & Universiti Swasta, Badan Gabungan Negeri dan Cawangan PKPIM termasuk pelajar sekolah menengah seluruh Malaysia. Presiden PKPIM Sesi 2017/2018, Saudara Muhammad Khair Bin Sujud telah menyampaikan Ucapan Dasar Presiden yang bertemakan, “Gerakan Mahasiswa Era Malaysia Baharu: Satu Tekad Perjuangan”.

Agenda muhasabah tahunan ini telahpun bersepakat memilih dan melantik saf pimpinan baharu bagi sesi 2018/2019. Saf pimpinan baharu ini dipilih berdasarkan kesepakatan musyawwarah secara bersama dengan menyemangati prinsip syura sebagaimana termaktub dalam perintah Allah “wa syawirhum fil amr” (dan bermusyawwarahlah kamu dalam setiap urusan). Senarai kepemimpinan baharu bagi sesi 2018/2019 adalah seperti berikut:

Presiden
Muhamad Nur Iman bin Abdul Khudus

Timbalan Presiden
Mohd Lukman Nurhakim Bin Kamazan

Naib Presiden
Mohd Hakim Mohd Nizam
Muhamad Zaki Khairul
Mohamad Ridhwan Rosli
Fatin Nabilah Azlan

Setiausaha Agung
Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin

Bendahari Kehormat
Rabiatul Adawiyah Mohamed Jamil

Teman-teman yang berjasa,

Mewakili saf kepimpinan baharu, peringatan yang selalu diingatkan kepada kita adalah transisi ini merupakan kesinambungan misi perjuangan bersama yang harus dilihat sebagai proses lumrah dalam organisasi. Yang lebih utama adalah untuk kita menggembleng idea dan tenaga dalam mengemudi bahtera perjuangan ini untuk memberi erti dalam mendepani era Malaysia Baharu ini.

Dalam tradisi Islam, kepemimpinan (al-Qiyadah) tidak dilihat sebagai suatu keistimewaan (tasyrif), tetapi ia merupakan tanggungjawab (taklif) yang harus ditunaikan dengan amanah dan penuh rasa keinsafan. Kepemimpinan merupakan suatu yang qudus dan suci.

Kepemimpinan tidak hanya merujuk kepada ketua atau barisan exco, tetapi ia meliputi keseluruhan unsur dalam suatu organisasi. Untaian hikmah seperti yang terungkap oleh Saiyidina Umar al-Khattab ini wajar diteliti dan dihadam dalam usaha memahami makna kepemimpinan: “Tiada organisasi tanpa kepimpinan, tiada kepemimpinan tanpa kepengikutan dan tiada kepengikutan tanpa ketaan.”

Pertubuhan kita merupakan organisasi yang bersifat kolektif (jamai’). Semua pihak memainkan peranan dan saling melengkapi. Tarbiyah (pendidikan) dan dakwah merupakan jawhar al-‘amal (teras kegiatan) kita yang menjadi tiang seri pertubuhan ini, prinsip amal jamai’, syura dan budaya gerak kerja terancang menjadi tonggak kesinambungan dan kejayaannya manakala budaya ilmu, akhlak mulia serta semangat jihad adalah pegangan setiap anggotanya.

Sebagai pertubuhan pelajar yang menghampiri Enam Dasawarsa, PKPIM yakin dan percaya pertubuhan ini tetap relevan selagi mana nilai intelektualisme dan budaya ilmu itu masih segar dalam pergerakan ini dalam membantu membangun kebitaraan para pelajar dan mahasiswa Islam di seluruh Malaysia, lebih-lebih lagi dalam menelusuri Era Malaysia Baharu ini.

PKPIM komited dengan penerusan agenda pembinaan generasi pelajar dan mahasiswa yang bitara. Dengan rahmat dan keberkatan Ilahi, mudah-mudahan cita-cita dan harapan murni ini bakal terlaksana secara bersama.

Wallahu’alam. Wassalam.

HIDUP BIAR BERJASA

Muhammad Nur Iman Abdul Khudus
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sesi 2018/2019

Leave A Response »