BELANJAWAN 2019: PKPIM GESA KERAJAAN PERTIMBANGKAN KEPENTINGAN EKONOMI MAHASISWA DAN PENDIDIKAN TINGGI

pkpim-admin November 3, 2018 0

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan segala keperluan ekonomi golongan mahasiswa dan pendidikan tinggi negara dalam menempuh era Malaysia Baharu yang kian mencabar ini, menerusi Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan nanti.

Jumlah peruntukan yang diberikan kepada sektor pendidikan tinggi juga harus dikekalkan ataupun lebih baik, ditingkatkan agar pembangunan modal insan di negara kita ini dapat terus dilaksanakan untuk mencapai matlamatnya.

Sebelum ini, Skim Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) yang disalurkan menerusi Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia (KADS1M) sedikit sebanyak meringankan beban mahasiswa sepanjang pengajian.

Namun, peruntukan yang dibelanjakan adalah meliputi seluruh mahasiswa tanpa mengambil kira latar belakang pendapatan keluarga mereka sama ada rendah mahupun tinggi.

Justeru, PKPIM berpandangan bahawa belanjawan kali ini seharusnya turut memfokuskan golongan bersasar, termasuk mahasiswa yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu golongan B40.

PKPIM berpandangan bahawa daya usaha ini dapat diubah kepada Kredit Maya atau Virtual Credit khusus untuk pembangunan mahasiswa dari segi skil dan kemahiran yang mustahak bagi meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa setelah tamat pengajian.

Idea ini telah dilaksanakan dengan jayanya di negara jiran, Singapura yang telah mengurangkan pengangguran belia kepada 2 peratus sahaja. Tuntasnya, perancangan seperti ini dilihat mampu mempersiapkan mahasiswa untuk menghadapi setiap cabaran Revolusi Perindustrian Keempat.

PKPIM juga akan menyokong seandainya pihak kerajaan dapat menambah nilai bantuan tersebut kepada RM400 seperti yang dinyatakan dalam laporan akhbar elektronik yang disiarkan oleh MyMetro bertarikh 26 Oktober 2018 yang bertajuk ‘Harapan mahasiswa menjelang Bajet 2019’.

Di samping itu, PKPIM juga menyeru agar diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN akan terus dilaksanakan di samping menyokong kenyataan Majlis Belia Malaysia untuk menghapuskan ujrah kerana hal ini mewujudkan hutang tambahan kepada peminjam PTPTN.

Hal ini adalah penting bagi menggalakkan mereka untuk melangsaikan hutang pinjaman pendidikan ini secepat yang mungkin, selain daripada meringankan beban mereka untuk menyara kehidupan peribadi dan keluarga selepas menamatkan pengajian.

Selain itu, PKPIM juga menyeru agar peruntukan kewangan kepada universiti-universiti tempatan dipertingkat berbanding jumlah terdahulu, untuk tujuan penyelidikan, pembangunan modal insan, prasarana dan sebagainya.

Hal ini adalah mustahak bagi menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi ini daripada terpaksa melonggarkan syarat-syarat kemasukan sehingga membuka peluang kepada mana-mana bakal pelajar untuk menyambung pengajian walaupun mereka tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan yang asal berserta pengenaan yuran yang lebih tinggi berbanding para pelajar ambilan arus perdana.

PKPIM menggesa agar keperluan-keperluan ini diberi penekanan dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara, bagi menghadapi era Revolusi Perindustrian Keempat yang penuh tribulasi.

Hidup Biar Berjasa

Muhamad Nur Iman bin Abdul Khudus
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Leave A Response »