Perutusan Presiden Sempena Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018

pkpim-admin November 13, 2018 0

Perutusan Presiden
Sempena Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018
12 November 2018

MENGGARAP POTENSI MENUJU KECEMERLANGAN

1 – Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah SWT, Rabb Sekalian Alam. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang dikasihi dan dirahmati oleh-Nya.

Adik-adik calon SPM sekalian,

2 – Mewakili Saf Qiyadah dan seluruh aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), saya mengucapkan bittaufiq wannajah dan selamat maju jaya kepada semua 421,706 calon yang akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang akan bermula pada 13 November 2018 hingga 13 Disember 2018 ini.

3 – Peperiksaan SPM merupakan salah satu peperiksaan penting yang akan menguji kefahaman dan penguasaan adik-adik dalam subjek-subjek yang dipelajari. Oleh itu, berusahalah sehabis baik dan mohonlah bantuan daripada Allah agar segala urusan peperiksaan adik-adik dipermudahkan oleh-Nya.

Adik-adikku yang Bitara,

4 – Albert Einstein pernah berkata, “Everybody is a Genius. But If You Judge a Fish by Its Ability to Climb a Tree, It Will Live Its Whole Life Believing that It is Stupid”. Jadi, di sini kita seharusnya sedar bahawa potensi dan kemampuan masing-masing tidak hanya boleh diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata.

5 – Percayalah pada diri kalian. Terokalah kecenderungan dan minat anda dan kembangkanlah potensi masing-masing!

Adik-adik sekalian,

6 – Menjelang hari peperiksaan yang bakal tiba, perbanyakkan doa agar dipermudahkan urusan sebelum dan semasa peperiksaan. Semoga kalian diberikan ketenangan dalam menjawab semua persoalan peperiksaan.

7 – Dapatkan rehat yang secukupnya agar sentiasa cergas dan bersedia sepanjang musim peperiksaan ini.

8 – Mohonlah doa dan restu daripada Ibu Bapa dan Guru sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.

9 – Akhir sekali, yakinlah dengan usaha yang telah kalian curahkan sepanjang 2 tahun kebelakangan ini dan letakkan pengharapan kalian kepada Allah setelah selesai menghadapi peperiksaan.

10 – Intihanya, seluruh warga PKPIM Kampus dan Badan Gabungan Negeri PKPIM pastinya mendoakan yang terbaik untuk calon-calon SPM 2018 ini! Kami menantikan penyertaan kalian di Perkampungan Menara Gading 2019 yang akan berlangsung di seluruh negara mulai Januari 2019!

HIDUP BIAR BERJASA

MUHAMAD NUR IMAN BIN ABDUL KHUDUS
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

12 November 2018

Leave A Response »