PKPIM RAFAK SEMBAH UCAPAN TAHNIAH KEPADA DYMM SULTAN PAHANG ATAS PELANTIKAN SEBAGAI YANG DI-PERTUAN AGONG KE-16

pkpim-admin January 26, 2019 0

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menjunjung kasih dan merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, Sultan Pahang atas pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16.
Pemilihan baginda sebagai Ketua Utama Negara itu adalah bertepatan dengan semangat mempertahankan tradisi yang ditunjukkan oleh Raja-raja Melayu yang bersidang semalam apabila mereka masih melaksanakan pemilihan bagi jawatan YDPA mengikut sistem giliran negeri dalam kalangan mereka seperti yang telah diamalkan sejak sekian lama.
PKPIM meletakkan setinggi-tinggi keyakinan dan harapan kepada DYMM Sultan Abdullah agar dapat terus memainkan peranan penting dalam menjamin kedaulatan tanah air yang tercinta di samping menjadi lambang penyatuan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Selain itu, PKPIM turut mengambil kesempatan untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak atas pengekalan jawatan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong di samping ucapan jutaan penghargaan kepada YDPA ke-15, Sultan Muhammad V yang juga merupakan Sultan Kelantan atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan oleh baginda sepanjang menggalas amanah sebagai ketua negara selama dua tahun bermula pada Disember 2016 sehingga Januari 2019.
Akhirul kalam, PKPIM juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mencurahkan kesetiaan terhadap institusi beraja di negara ini sejajar dengan prinsip Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara di samping menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang memelihara kedudukan baginda bersembilan serta menggariskan hak dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan saat dilantik menjadi Ketua Utama Negara.
MUHAMAD NUR IMAN ABDUL KHUDUSPresidenPersatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Leave A Response »