PENGURANGAN BANTUAN PENDIDIKAN TINGGI : JANGAN MANGSAKAN MAHASISWA

pkpim-admin February 25, 2019 0

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ingin membangkitkan perkembangan terkini berkaitan status agihan Skim Bantuan Pendidikan Tinggi untuk mahasiswa di Institut-institut Pengajian Tinggi yang baru diumumkan Kementerian Kewangan hari ini.

Berdasarkan siaran media yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, setiap penuntut warga tempatan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan menerima bantuan sebanyak RM100 dan dijangka diagihkan pada hujung Mac.

Namun begitu, jumlah RM100 adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan inisiatif bantuan Pendidikan Tinggi yang diagihkan kerajaan lama Barisan Nasional iaitu RM250.

PKPIM dengan ini menggesa pihak Kementerian Pendidikan atau Kementerian Kewangan segera tampil dengan penuh tanggungjawab memberikan penjelasan berkenaan kewajaran pengurangan bantuan ini.

Penjelasan ini dituntut bagi memastikan para mahasiswa tidak dimangsakan dalam dasar baharu kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM ini mencadangkan agar penggunaan Kad Debit i-Diskaun Siswa 1 Malaysia (KADS1M) dapat ditambah baik dan diperluaskan fungsinya terutama berkaitan penetapan kadar harga istimewa bagi mahasiswa ketika berbelanja.

Ini termasuklah memperkenalkan kadar dividen buat semua pemegang Kad Siswa bagi membantu mahasiswa dalam menabung.

PKPIM turut mencadangkan agar Kad Siswa sedia ada boleh digunakan bagi tujuan mendapatkan diskaun bagi penggunaan di stesen minyak dan digunakan bagi tujuan pengangkutan terutama di musim perayaan.

PKPIM juga berharap agar suatu mekanisme yang lebih sistematik dapat diwujudkan bagi memastikan soal kebajikan mahasiswa turut menjadi keutamaan pihak kerajaan pusat Pakatan Harapan.

PKPIM sentiasa komited untuk sama-sama berganding bahu dengan mana-mana pihak bagi memastikan untung nasib dan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara.

Hidup Biar Berjasa

Leave A Response »