PKPIM SOKONG SARANAN MENTERI PERBANYAKKAN DISKUSI BUKU

pkpim-admin April 5, 2019 0

Wangsa Maju – 1 APRIL 2019

Merujuk ucapan Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik bersempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 semalam, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh saranan menteri untuk memperbanyakkan aktiviti perbincangan dan perbahasan buku di institut-institut pendidikan tinggi (IPT) tempatan. Menurut beliau, hal tersebut merupakan suatu cabaran yang dilontarkan kepada warga IPT tempatan bagi meningkatkan mutu pendidikan dan menjadikan IPT sebagai medan intelektual yang dimanfaatkan untuk percambahan dan pertukaran pendapat sesama mereka.

PKPIM bersedia bersama IPT tempatan menyahut seruan YB Menteri. Kami telah sekian lama mengadakan aktiviti seumpama itu yang dinamakan Bibliophilia. Aktiviti ini dijalankan secara konsisten oleh ahli-ahli kami di IPT seluruh negara termasuk di alma mater YB Menteri, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kini menjengah edisi ke-130.

Usaha ini selari dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang sudah mula dipromosikan sejak tahun lepas dengan slogan #MALAYSIAMEMBACA. Menurut YB Menteri, kajian profil membaca rakyat Malaysia yang dilakukan Perpustakaan Negara Malaysia pada 2005 mendapati rakyat Malaysia hanya membaca 2 naskhah buku setahun. Bagaimanapun katanya, angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada tahun 2014 berdasarkan laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia, namun masih rendah berbanding 40 judul buku setahun di negara maju.

Justeru, PKPIM menyeru seluruh anak muda khususnya golongan mahasiswa/i IPT tempatan untuk menyambut saranan YB Menteri untuk melazimi amalan membaca buku seterusnya membugar budaya ilmu dan perbincangan ilmiah.

Hidup Biar Berjasa

Muhamad Nur Iman Abdul Khudus,
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Leave A Response »