BERDEMOKRASILAH SECARA BIJAKSANA: DAMAI DAN SUKSES PEMILU 2019 DARIPADA PKPIM

pkpim-admin April 17, 2019 0

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengikuti perkembangan pemilihan umum (PEMILU) di Indonesia yang berlangsung pada hari ini. PEMILU kali ini adalah antara pilihan raya terbesar di dunia, melibatkan lebih 193 juta pengundi rakyat Indonesia di dalam dan luar negara.

Pengundi Indonesia di Malaysia, misalnya, telah pun membuang undi 3 hari lepas melibatkan 1.5 juta orang. Proses membuang undi ini sedikit terganggu ekoran penemuan 50,000 kertas undi pemilihan awal di Selangor. Justeru, PKPIM mendesak pihak berkuasa kedua-dua negara untuk menyegerakan siasatan punca penyelewengan ini.

PEMILU di Indonesia kali ini bakal menyaksikan ulangan pertembungan antara Presiden Joko Widodo dan Leftenan Jeneral (P) Prabowo Subianto. Pada tahun 2014, Presiden Jokowi diisytiharkan sebagai pemenang pemilihan presiden (Pilpres) dengan pungutan suara sebanyak 53% mengatasi Leftenan Jeneral Prabowo dengan 47% sahaja.

PKPIM mendoakan agar PEMILU kali ini berjalan dengan aman dan lancar. Memetik kata-kata K.H. Abdullah Gymnastiar atau Aa Gym:

“Silakan gunakan hak sesuai kata hati terdalam, dan hormati pilihan saudara kita lainnya”.

Kami juga panjangkan doa kami ini khusus buat teman-teman kami daripada Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) pimpinan sdr. Zuhad Aji Firmantoro, Ketua Umum HMI dan Pelajar Islam Indonesia (PII) diketuai oleh sdr. Husin Tasrik, Ketua Umum PII.

Hidup Biar Berjasa

Hakim Nizam
Naib Presiden (Antarabangsa)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Leave A Response »