KENYATAAN MEDIA PKPIM ISU KUOTA MATRIKULASI : PKPIM MINTA SEMUA PIHAK RASIONAL

pkpim-admin May 23, 2019 0

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa semua pihak bersikap rasional dan berlapang dada dalam menekuni polemik berkaitan kuota 90:10 penempatan pelajar di Pusat Matrikulasi. PKPIM berpendirian menyokong langkah YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi mengekalkan agihan kuota 90% bumiputera dan 10% bukan bumiputera.

Pengekalan sistem ini juga dilihat adil dan memenuhi keperluan semasa, bukan dibuat berdasarkan keistimewaan kepada mana-mana pihak. Ini selaras dengan objektif Program Matrikulasi KPM sendiri yang bertujuan memastikan pembangunan potensi pelajar bumiputera dapat dilakukan melalui pendidikan yang berkualiti untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di IPT di dalam dan di luar negara dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

PKPIM menyambut baik langkah KPM meningkatkan pengambilan pelajar daripada 25,000 kepada 40,000. Peningkatan ini dengan erti kata lain membuka lebih peluang kepada pelajar bukan bumiputera yang layak untuk memasuki program matrikulasi seluruh negara.

PKPIM juga berpandangan tidak timbul isu diskriminasi dalam menanggapi perkara ini. Isu ini harus dilihat secara holistik berdasarkan pemilihan pelajar untuk memasuki Pusat Matrikulasi dibuat secara merit berdasarkan pencapaian akademik dalam peperiksaan SPM.

PKPIM juga memetik pandangan Pakar Ekonomi, Dr Muhammad Abdul Khalid dalam bukunya The Colour of Inequality. Pecahan etnik bagi universiti awam tempatan diwakili terdiri daripada 72,387 pelajar bumiputera & 175,426 Bukan Bumiputera. Bagi pengajian di luar negara, terdapat seramai 5,800 pelajar bumiputera dan 112,000 pelajar bukan bumiputera. Kadar kemasukan ke universiti awam pula adalah terdiri daripada sebanyak 62.6% Bumiputera, 32.2% Cina dan 5.2%. Ini mengesahkan bahawasanya komposisi pelajar bukan bumiputera di universiti awam mengatasi komposisi pelajar bumiputera.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga bersetuju wujudnya diskriminasi kepada Bumiputera dalam pekerjaan terutama dalam sektor swasta. Ini berdasarkan satu kajian akademik yang dijalankan Dr Hwon-Aun Lee dan Dr Muhammed Abdul Khalid pada 2015.

PKPIM juga menyeru semu pihak lebih cermat dan tidak melatah dalam mengeluarkan apa jua kenyataan dan jangan cuba mengaitkan isu ini dengan isu perkauman. Ini bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kekeliruan timbul dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.

Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin,
Setiausaha Agung PKPIM
20 Mei 2019

Leave A Response »