KENYATAAN MEDIA PKPIM: YURAN UNIVERSITI WAJAR DIKURANGKAN

pkpim-admin May 26, 2020 0

26 Mei 2020

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengesyorkan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar yuran pengajian di universiti dikurangkan.

Berdasarkan perkembangan semasa, sebahagian besar universiti awam dan swasta mengendalikan program akademik secara atas talian sebagai respon kepada resam baharu pengajian tinggi menghadapi pandemik COVID19.

Syor ini mengambil kira faktor hampir semua mahasiswa melakukan pembelajaran menggunakan kemudahan persendirian tanpa melibatkan sebarang insfrastruktur mahupun kemudahan universiti.

Majoriti mahasiswa di universiti datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana (B40 & M40) sudah pasti terkesan daripada ketidaktentuan ekonomi negara sepanjang wabak COVID19 ini berlaku.

PKPIM memahami setiap universiti mempunyai kebebasan dalam membuat apa jua keputusan terkait isu dalaman masing-masing. Namun, PKPIM melihat isu pembelajaran atas talian ketika PKPB ini melibatkan hampir semua universiti awam mahupun swasta.

Justeru, PKPIM berpandangan wajar untuk KPT meletakkan suatu polisi tetap dengan mengurangkan yuran bagi sesi pengajian kali ini di semua universiti awam.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga merayu kepada pihak kerajaan mengekalkan subsidi pengajian tinggi di universiti awam. Ini penting bagi memastikan tiada sebarang kenaikan yuran pengajian bagi mahasiswa baharu yang bakal memulakan pengajian mereka pada kemasukan baharu 2020/2021.

Langkah ini bertujuan memastikan peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi tidak terjejas serta mampu ditampung terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, lebih-lebih lagi pada masa sukar sekarang.

HIDUP BIAR BERJASA

AHMAD FARHAN BIN ROSLI
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Leave A Response »