KENYATAAN MEDIA PKPIM: GUGATAN TERHADAP PARLIMEN DIGITAL WAJAR DISANGGAH

pkpim-admin July 5, 2020 0

5 Julai 2020 bersamaan 14 Zulkaedah 1441H

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengikuti rapat perkembangan pelaksanaan Parlimen Digital yang dijalankan pada 4 dan 5 Julai 2020.

Syabas diucapkan kepada rakan-rakan penganjur dan khususnya buat semua 222 Ahli Parlimen Digital yang berperanserta aktif dalam mengemukakan pandangan terkait permasalahan pendidikan dalam talian dan kemandirian ekonomi belia dalam menghadapi impak COVID-19.

Anak muda Malaysia membuktikan kita punyai kemampuan bagi memainkan peranan sebagai rakan pembangunan negara di samping mengukuhkan proses semak imbang secara tidak langsung dalam kerangka demokrasi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menerima berita kurang enak berkaitan tindakan tidak demokratik pihak berkuasa terutama PDRM yang mengarahkan mereka memberi keterangan di balai polis berdekatan.

PKPIM menyeru pihak berkuasa agar menghormati hak kebebasan bersuara sebagaimana termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

PKPIM berpandangan bahawa idea-idea dan pandangan-pandangan yang dikemukakan anak-anak muda dalam Parlimen Digital mencerminkan rasa sayang mereka akan potensi pembangunan negara dan tidak sama sekali melampaui batas hak kebebasan bersuara yang terjamin dalam negara ini.

PKPIM menyeru agar sebarang bentuk ugutan mahupun kekerasan dihentikan serta-merta. PKPIM percaya akan potensi anak muda dan kerajaan sewajarnya turut sama-sama memastikan suara anak muda terus diarusperdanakan.

Hidup Biar Berjasa!

AHMAD FARHAN ROSLI
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Leave A Response »