KENYATAAN MEDIA PKPIM: KEPIMPINAN BAHARU YADIM HARUS UTAMAKAN KEPENTINGAN UMAT

pkpim-admin July 16, 2020 0

16 Julai 2020 bersamaan 25 Zulkaedah 1441H

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengambil maklum perubahan tampuk kepimpinan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang diterajui oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi sebagai Yang Dipertua baharu berkuatkuasa hari ini.

Namun, perubahan tampuk kepimpinan kali ini kelihatan tergesa-gesa tanpa mengambil kira prestasi dan pencapaian barisan kepimpinan yang diketuai oleh Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz sebelum ini.

Isu lantikan politik dalam badan dakwah seperti YADIM bukanlah suatu perkara baharu bahkan sudah menjadi kebiasaan termasuklah apabila berlakunya perubahan suasana politik kepimpinan di peringkat nasional.

PKPIM berpandangan bahawa YADIM sewajarnya dipimpin oleh golongan teknokrat yang berlatarbelakangkan akademik dan mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam konteks dakwah Malaysia.

Oleh itu, PKPIM menggesa perkara ini diambil perhatian dan dilaksanakan seperti apa yang pernah diungkapkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

PKPIM turut mencadangkan agar kepimpinan YADIM yang baharu turut melibatkan belia yang berkelayakan dengan cara diberikan ruang memimpin YADIM dalam usaha menjadikannya sebagai pertubuhan dakwah yang mesra anak muda dan masyarakat.

PKPIM juga menggesa kepimpinan YADIM untuk mengambil sikap proaktif dalam menggerakkan agenda dakwah dan pembangunan insan di negara ini tanpa mengetepikan golongan yang memerlukan. Tidak sekadar mengungkapkan idea-idea bernas tanpa merenungkan keberkesanan idea tersebut secara praktikal dalam meratakan Rahmatan Lil ‘Alamin ke segenap pelusuk tanah air.

Akhir kata, PKPIM mengucapkan selamat maju jaya kepada kepimpinan YADIM yang diterajui oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Hidup Biar Berjasa!
Berkemajuan, Inklusif, Merakyat

LUTFIL HADI ROSLEE
Timbalan Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Leave A Response »