DEMI AL-QUDS, MARILAH KITA BERSATU HATI

pkpim-admin November 29, 2020 0

Muhamad Adib Irfan Fazil
Saidatunnisa’ Zainuddin

Bersempena dengan Sambutan Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Warga Palestin, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) dan Global Peace Mission Malaysia (GPM) telah mengadakan Wacana Rentas Nusa (Warna) Edisi Khas yang bertemakan “Demimu Al-Quds: Solidariti Mahasiswa Islam Buat Palestin”. Program ini bertujuan menyebarluaskan mesej solidariti terhadap Palestin dengan menyediakan ruang wacana dan perbincangan dalam kalangan mahasiswa Islam dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Sesi pembentangan dimulakan oleh Tuan Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin, CEO Global Peace Mission Malaysia. Beliau memulakan pembentangan dengan menyiarkan ciapan akaun Twitter Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang tegas menukilkan:

Kita wajib menyatakan dengan jelas bahawa al-Quds bukanlah isu orang Palestin mahupun orang Arab sahaja; bahkan al-Quds adalah isu umat islam baik yang ditimur mahupun barat!

Konflik Palestin-Israel bukanlah sesuatu yang baru terjadi, tetapi sudahpun menjangkau 73 tahun lamanya. Malangnya, sesetengah negara yang seagama dengan kita telah memulakan langkah normalisasi hubungan dengan Israel. UAE merupakan negara keempat yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menormalisasikan hubungan dengan Israel selepas Turki pada tahun 1949, Mesir pada tahun 1979 dan Jordan pada tahun 1994. Pada tahun ini, kita turut menyaksikan Presiden AS, Donald Trump yang menjadi perantara untuk menjalinkan hubungan diplomatik antara Israel, Bahrain dan Sudan. Perbuatan ini seolah-olah melakukan penindasan yang dibuat oleh saudara seagama terhadap rakyat Palestin. Beliau turut menyenaraikan beberapa langkah yang boleh diusahakan oleh kita sebagai anak muda Islam untuk bertindak dalam membela al-Quds yakni hidupkan nyalarasa kerelawanan dan inklusif; pupuk rasa kemanusiaan; gagasan ummatik—pemimpin keamanan yang signifikan; bergabung dengan mana-mana pihak yang turut mengangkat perjuangan Al-Quds; dan mengetengahkan bahan bacaan yang berkualiti dan berilmiah. Beliau mengakhiri pembentangan beliau dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad iaitu:

Akan sentiasa wujud di kalangan umatku yang berjuang atas kebenaran, tegas terhadap musuh dan tidak akan terkesan dengan pihak yang meninggalkan mereka, melainkan menghadapi kesempitan hidup. Hinggalah datang ketentuan Allah dan mereka masih dalam keadaan demikian. Sahabat bertanya siapakah mereka? Sabda Rasulullah mereka di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis.”

Kemudian, sesi pembentangan diteruskan oleh Timbalan Setiausaha Agung, Union of NGOs of The Islamic World (UNIW) merangkap Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) iaitu Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman. Beliau berpendapat bahawa isu Palestin ini merupakan simbol krisis umat islam pasca kejatuhan Khilafah Islamiah. Beliau juga mengaitkannya dengan Perisytiharan Balfour 1917 oleh kuasa besar Barat yang menjadi titik tolak dalam memecahkan kesatuan umat Islam kerana mereka percaya bahawa jika umat Islam kembali bersatu padu, kita akan kembali menguasai dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB/UN) juga merancang untuk memecahbelahkan umat Islam  dengan meluluskan pelan pembahagian tanah di bumi Palestin. Pada pandangan beliau, OIC juga sudah tidak lagi relevan dan lemah dalam mempertahankan hak warga Palestin. Ini jelas kelihatan apabila empat daripada 57 buah negara OIC telah menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel sedangkan OIC ditubuhkan atas dasar membela kepentingan Palestin pasca insiden pembakaran Masjid Al-Aqsa.

Dalam erti kata lain, OIC pada hakikatnya merupakan salah satu benteng pertahanan hak-hak warga Palestin tetapi sayangnya dilemahkan oleh beberapa anggotanya sendiri. Oleh sebab itu, Tuan Haji Azam menyatakan harapan yang besar kepada generasi muda untuk mempertahankan Baitulmaqdis dan perlunya sikap optimis dengan masa depan yang telah dijanjikan kemenangan buat agama kita dengan memetik ibrah daripada peristiwa pembebasan kota Konstantinople. Beliau juga memetik kata-kata seorang tokoh iaitu Ismail Faruqi yang mengatakan bahawa umat Islam perlu merobohkan konsep negara bangsa untuk membina semula kesatuan umat islam atas dasar pegangan akidah yang sama yang ummatan wahidah (umat yang satu) menerusi petikan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Perumpamaan kaum Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Tambahan pula, kita juga perlu mengguna pakai konsep Muhajirin dan Ansar dengan menganjurkan sikap saling membantu sesama kita walaupun berbeza bangsa dan negara. Beliau juga menyeru supaya kita sedar dan berfikir luar daripada ekosistem yang sedia ada tanpa mengharapkan sistem Barat yang bertujuan memecahbelahkan umat Islam untuk membantu Palestin. Beliau mengemukakan 7 Formula Pembangunan Al-Fatih yang perlu ditanamkan dalam dada setiap aktivis anak muda dalam perjuangan ini iaitu:

  1. Wawasan ummatik;
  2. Semangat jihad dan keberanian;
  3. Pendidikan adab;
  4. Penghayatan Al-Quran;
  5. Kekuatan tahajud;
  6. Penguasaan ilmu strategik; dan
  7. Penguasaan pelbagai bahasa.

Beliau mengakhiri perkongsiannya dengan memetik sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud:

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar.”

(Surah al-Hujurat, ayat 15)

Dalam slot pembentangan yang selanjutnya, Tuan Anas Abdul Wahab, Pengurus Bahagian Media dan Dokumentasi, Aman Palestin Berhad membicarakan pahit getir perjuangan pembebasan Palestin yang memerlukan strategi, tenaga dan masa yang amat panjang. Namun, realitinya hari ini, kita masih berada di tahap yang paling bawah kerana musuh sudah menemui pelbagai ramuan lain untuk menutup pintu kemenangan. Suntikan inspirasi amat diperlukan sewaktu merancang dan bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Beliau mengharapkan umat Islam akan bersatu seiring usaha pembebasan kota Palestin. Dalam pada itu, naratif yang memperlihatkan Palestin memerlukan bantuan material dan moral dalam merealisasikan hasrat pembebasannya harus diutarakan dalam kalangan kita di sini. Kefahaman dan kesedaran tentang isu ini harus diambil berat seterusnya diterapkan dalam diri generasi muda hari ini dalam usaha mewarisi peranan sistem sokongan dalam perjuangan pembebasan Palestin ini.

Kemudian, program diteruskan dengan sesi kemuncak yang menampilkan lima orang wakil aktivis mahasiswa Islam tempatan dan luar negara sebagai pengulas. Secara umumnya, mereka amat bersetuju dan percaya bahawa usaha membantu perjuangan Palestin harus digiatkan sehingga masa hadapan. Sdr. Amsyar Effendy, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM mengutarakan pandangan bahawa anak muda perlu menjadi agen penyebaran semangat kesedaran dalam kalangan masyarakat kita. Selain itu, Sdri. Yanti Febrianti yang mewakili Korpus PII Wati, Pelajar Islam Indonesia selaku Sekretaris (Setiausaha) berharap supaya perjuangan memupuk kesedaran akan isu Palestin tidak terhenti setakat hari ini sahaja tetapi terus disambung oleh generasi mendatang manakala Sdri. Nawal Irdina pula menegaskan mahasiswa haruslah berperanan dalam mempersiapkan tokoh-tokoh yang berwibawa dengan berbagai-bagai kemahiran serta meningkatkan kesedaran dalam mencapai agenda yang lebih besar.

Isu hak asasi warga Palestin yang ditindas turut dibangkitkan oleh Sdri. Arina Bumiputra, Aktivis Thai Muslim Students Association (TMSA) dan Sdr. Izzat Hakimi selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dalam wacana ini. Menurut mereka, warga Palestin mempunyai hak asasi yang sama seperti mana warga dunia yang lain yang menyebabkan maklumat dan khabar berita daripada mereka sukar diperoleh. Maka, satu medium penyampaian berita yang benar dan telus tentang keadaan semasa di Palestin wajar disediakan untuk menangani masalah ini.

Akhir kata, kita sebagai umat Islam yang bergerak dalam satu jemaah perlulah bertindak secara kolektif dalam memperjuangkan hak saudara seagama kita di bumi Palestin; tanah yang sarat dengan sejarah dan keistimewaan yang termaktub dalam Al-Quran mahupun as-Sunnah sebagai tanah suci umat Islam. Kami berharap agar program seperti ini sentiasa dijalankan sebagai platform menerik perhatian kelompok masyarakat Muslim dan bukan Muslim terutamanya dalam kalangan anak muda yang dianggap sebagai pemegang kunci kemenangan umat Islam pada masa yang akan datang. PKPIM juga berharap agar semangat solidariti bersama warga Palestin dalam kalangan mahasiswa kekal malar segar sepanjang waktu yang mendatang.

Kemerdekaan kita tidak sempurna selagi Palestin belum dibebaskan.

Leave A Response »