WARKAH KHAS PIMPINAN PUSAT PKPIM : INTROSPEKSI DAN PENGUKUHAN AGENDA 2021

pkpim-admin January 1, 2021 0

Untuk kita, umat manusia sejagat, 2020 adalah suatu pengalaman yang menginsafkan. Pengalaman ini dilatari dengan deretan krisis yang melanda peradaban manusia. Bumi ini bukan sahaja dilanda wabak pandemik kesihatan COVID-19 tetapi turut melarat hingga mejangkaui keselamatan makanan, perubahan iklim serta krisis politik.

Malaysia tidak terkecuali dilanda musibah. 113,010 kes positif telah direkodkan sejak pandemik COVID-19 melanda. Pertarungan merebut kuasa juga terus bekecamuk saat ekonomi terus tidak stabil, rakyat menderita, mahasiswa merana diancam ketidakstabilan mental dan generasi muda masih teraba-raba mencari kerja.

2021 wajar dicermati dengan penuh harapan beserta kewaspadaan. Sebagai generasi muda, jangan kita benarkan Covid-19 ini menjadi alasan bagi mencalarkan demokrasi, mematikan elemen manusiawi, mengugat idealisme dan mengekang kebebasan berkarya. Marilah kita melihat resam baharu dunia 2021 sebagai suatu peluang membina masa depan yang lebih lestari dalam kerangka memelihara karamah insani.

Generasi muda, mahasiswa diseru segera bermuhasabah, sama-sama berganding bahu dan memperkukuh idealisme perjuangan. COVID-19 adalah wake up buat manusia untuk kembali kepada identiti kemanusiaan. Identiti kemanusiaan yang tidak pernah membenci, sentiasa tegas menyanggah kebobrokan, tidak rela yang lemah dihina dan tidak senang melihat manusia angkuh berkuasa.

Editor The Economist, Tom Standage menyatakan angka 21 sangat terkait dengan nasib yang baik, risiko, dan kebijakan menangani perubahan. Dunia pada 2021 bukan sahaja memerlukan vaksin Covid-19, tetapi penawar kepada kecelaruan politik, pengangguran, perubahan iklim dan perpaduan.

Buat penggerak PKPIM, ketahuilah tanggungjawab kita lebih banyak daripada masa. Tahun 2021 akan membuka lembaran seterusnya dalam perjuangan menuju desawarsa baharu. Jangan pernah ragui bahawa perjuangan ini adalah cita-cita murni demi mengangkat martabat umat.

Dengan cabaran baharu, marilah kita melangkah. Wajar kita sambut penegasan kekanda Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam ucapan dasar pada muktamar sanawi ABIM yang mengangkat tema kosmopolitan Islam dalam menginspirasi Bangsa Malaysia berpaksikan identiti nasional yang diadun dalam bingkai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen perpaduan rakyat.

Langkahan kita pada 2021 tidak wajar dipandu ledakan semangat semata. Langkahan ini wajar dipadu dengan tradisi keilmuan yang utuh dengan neraca idealisme yang utuh dan prinsip yang teguh. Kemampuan PKPIM untuk kekal relevan sangat bergantung kepada kemampuan menggabung jalin interpretasi bahan lewat halaqah ilmu (usrah) kepada penzahiran aksi dan bakti dalam lapangan umat.

2021 adalah tahun besar buat jamaah WADAH-ABIM-PKPIM secara keseluruhannya. Sesungguhnya 2021 adalah tahun penting buat jamaah meniti kematangan usia di pentas dakwah sejajar dengan usia 60 tahun PKPIM, 50 tahun ABIM dan 15 tahun WADAH. Di sebaliknya usia panjang ini dilatari dengan pelbagai pencapaian dan mehnah tribulasi yang mencabar. Sudah pasti seluruh ahli jamaah wajar terus mendoakan eksperimen dakwah mengangkat kepimpinan umat dipermudah.

Bermula titik ini, marilah kita menyemarakkan semangat kekitaan, kekeluargaan dan kebersamaan. Bagi memperingati sambutan 6 Dekad PKPIM, marilah bersama menjayakan agenda #KitaPKPIM dan #TerimaKasihPKPIM sebagai satu refleksi kesatuan hati nurani dan penghargaan kepada gerakan perjuangan yang kita cintai ini. We’ll never walk alone along this journey.

Marilah kita memperkukuh tekad 60. Semarakkan pembudayaan ilmu, gencarkan tarbiyah, sasarkan pembacaan 60 buah buku pada 2021 serta pastikan kehadiran kita dirasai dalam pentas masyarakat. PKPIM 60 adalah sebuah gerakan perjuangan memancarkan aura kemanusiaan, berjasa kepada masyarakat dan membentuk minda intelek.

Atas tekad ini, marilah kita sambut 2021 dengan azam dan tekad yang kukuh; memanusiakan manusia dan memasyarakatkan mahasiswa dengan obor Hidup Biar Berjasa. Selamat Tahun Baharu 2021 buat semua.

Ahmad Farhan Rosli
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Leave A Response »