MODUS OPERANDI

PKPIM berperanan sebagai elemen penyatu kepada hal ehwal kebajikan dan pergerakan pelajar Islam di peringkat kebangsaan. Fokus pergerakan PKPIM adalah kepada pelajar-pelajar Islam untuk memperkukuhkan fahaman agama. Keahlian PKPIM terbuka kepada semua pelajar daripada peringkat menengah hingga ke atas. Jaringan keahlian PKPIM meliputi pelbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah di seluruh Malaysia.

Fokus dan Skop Aktiviti PKPIM

Pendekatan PKPIM dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan adalah berorientasikan dakwah dan tarbiah. Setiap program dan aktiviti yang dilakukan adalah mempunyai matlamat khusus dengan pengkajian serta perancangan yang teliti dari segi perlaksanaan dan program susulan. PKPIM memberikan penekanan kepada dua skop aktiviti utama sepertimana berikut :

* Aktiviti Dalaman

Asas Latihan dan Kemahiran
Penumpuan diberikan terhadap perkara-perkara asas yang perlu wujud dalam diri seseorang pelajar Muslim melalui siri-siri latihan kepimpinan, motivasi kendiri dan program-program pembangunan yang disusun secara berkala dari masa ke semasa. Bimbingan diberikan dengan asas-asas kerohanian dan cara hidup Islam yang syumul dalam menghadapi zaman kontemporari yang serba mencabar.

Pengembangan dan Pemantapan
Kemahiran asas yang diperolehi diperkembangkan melalui program dan bengkel-bengkel kemahiran sepertimana kursus dan bengkel yang telah dijalankan. Antaranya ialah Kursus Asas Fasilitator (4 fasa perlaksanaan), Bengkel Pengurusan Strategik dan Organisasi, Siri Latihan Kepimpinan Mahasiswa IPT (pemimpin mahasiswa) dan Bengkel Latihan Khidmat Masyarakat.

* Aktiviti Luaran

Komuniti dan Pembangunan Masyarakat
Generasi muda merupakan elemen penting dalam mencorak pembangunan masyarakat. PKPIM menyumbang pelbagai bentuk program dan aktiviti yang bersifat penyertaan pelajar secara terus bersama masyarakat umum dari pelbagai peringkat tanpa mengira umur, pangkat dan kawasan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Program Mahasiswa Bersama Masyarakat (MBM) yang mana di dalam projek ini mahasiswa turun kepada masyarakat desa dan pedalaman. Kedua ialah Program Penyelidikan Komuniti. Antara yang telah dijalankan ialah Projek Permasalahan Masyarakat Felda dan terakhir ialah projek Gerakan Muda Prihatin (GEMPA). Penumpuan program ini adalah untuk mengadakan kempen-kempen kesedaran gaya hidup murni di pelbagai tempat awam.

Pembangunan Generasi Muda

Pembangunan generasi muda perlu dibina sejak dari awal lagi. Justeru itu, PKPIM melihat aktiviti yang bersifat latihan dan motivasi dianjurkan untuk memberi pendedahan dan bimbingan kepada golongan pelajar sejak dari alam persekolahan. Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK). Program ini dikhususkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Seterusnya Perkhemahan Motivasi dan Kepimpinan Sekolah (MEKAR) yang dikhususkan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah. Projek Sekolah Angkat turut dilakukan oleh PKPIM dalam membantu negara membangunkan generasi muda. Tidak ketinggalan juga Program Kepimpinan Rakan Muda (KARISMA) yang memberi tumpuan kepada remaja bermasalah.

Keintelektualan dan Pemikiran

PKPIM  juga turut mengadakan program-program yang berfungsi sebagai pencetus wahana perbincangan sihat mengenai isu-isu semasa terutama dalam menangani kemelut dunia pelajar khususnya dan manfaat masyarakat umumya. Antara program-program yang dianjurkan oleh PKPIM ialah Konvensyen Pendidikan Nasional, Kongress Mahasiswi Islam Kelantan, Muzakarah Kepimpinan , Wacana Ilmiah Bulanan dan Majlis Diskusi Ilmu. Aspek keilmuan dan keintelektualan merupakan pendekatan dan orientasi PKPIM yang utama di kalangan pelajar dan masyarakat umumnya.

Penulisan, Penerbitan dan Teknologi Maklumat

PKPIM dari masa ke semasa menyumbang pelbagai bentuk genre penulisan terutamanya rencana dan penulisan ilmiah melalui saluran media massa. Penulisan ini berkaitan dengan isu-isu pendidikan, perkembangan mahasiswa dan kemasyarakatan. Dalam bentuk sebegini jugalah PKPIM dapat menyalurkan maklumat kepada para pelajar dan masyarakat. Antara bahan penerbitan PKPIM ialah Siri Berkala “Suara Muda Kelantan”, Siri Motivasi Pelajar Muslim Cemerlang (SMART) dan Monograf Berkala Koleksi Kertas Kerja PKPIM.

Penumpuan terhadap teknologi maklumat turut digunakan sebagai medium pengantaraan kepada pelajar dan masyarakat. PKPIM turut mempunyai laman web & laman sosial (facebook & twitter) tersendiri yang memuatkan maklumat semasa pelajar, aktiviti persatuan dan rencana ilmiah. Laman web ini boleh diterokai melalui www.pkpim.org.my manakala Facebook & twitter boleh terus ke ruangan carian dengan menaipkan perkataan PKPIM.